Seberang Perai juga perlukan UTC, kata ADUN

Admin
whatsapp image 2024 05 27 at 17.33.16

GEORGE TOWN – Lebih 1.1 juta penduduk bakal menerima manfaat sekiranya Pusat Transformasi Bandar (UTC) turut diwujudkan di kawasan Seberang Perai, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran.

Beliau berkata, pembangunan UTC di Seberang Perai adalah langkah penting untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk dan memacu kemajuan ekonomi setempat.

“Selain memudahkan penduduk untuk mengakses perkhidmatan awam, pembangunan UTC di Seberang Perai juga dapat membantu menjimatkan masa dan kos perjalanan bagi penduduk yang mahu mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

“Pembangunan UTC pastinya akan menarik lebih ramai pengunjung dan pelabur ke Seberang Perai, sekali gu meancakkan aktiviti ekonomi setempat dan membuka peluang perniagaan serta pekerjaan baru untuk penduduk tempatan.

“Selain itu, ia juga akan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memenuhi keperluan harian penduduk Seberang Perai dengan lebih baik kerana UTC bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kerajaan tetapi juga pelbagai kemudahan lain seperti pusat kesihatan, pusat latihan, dan ruang niaga,” katanya semasa sesi perbahasan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat bangunan Dewan Undangan Negeri dekat sini sebentar tadi.

Kumaran berkata, pembangunan UTC di Seberang Perai turut akan menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan rakyat dan perniagaan tempatan, seterusnya memacu transformasi digital di kawasan setempat.

“Selain itu, program-program seperti bengkel latihan, ceramah kesihatan, dan aktiviti kebudayaan dapat dijalankan untuk memperkasa komuniti setempat.

“Malah, dengan adanya UTC juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memudahkan pergerakan rakyat terutamanya dari Seberang Perai ke pulau,” katanya.

“Justeru, saya berharap agar projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberi manfaat yang besar kepada seluruh komuniti di Seberang Perai,” katanya lagi.

Sehinga ini, Pulau Pinang hanya mempunyai sebuah UTC yang mula beroperasi pada Ogos 2020 dekat Komtar di sini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS