Seberang Perai perlu pelan induk pengangkutan, syor ADUN Bukit Tambun

Admin

GEORGE TOWN – Kesesakan luar biasa di jalan-jalan utama sekitar bahagian Seberang Perai kebelakangan ini sewajarnya mendorong Kerajaan Negeri mewujudkan Pelan Induk Pengangkutan Seberang Perai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik memberitahu syor itu wajar dipertimbangkan memandangkan Kerajaan Negeri telah ada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi menangani isu lambakan kenderaan atas jalan raya utama khusus di bahagian Pulau.

Cadangnya lagi, Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC) selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri perlulah menerajui Pelan Induk Pengangkutan Seberang Perai dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan projek berwajib, kelak.

“Ketua Menteri Yang Amat Berhormat (Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi) sering kali menyatakan bahawa masa depan negeri Pulau Pinang adalah di Seberang Perai.

“Akan tetapi, sebelum ‘masa depan negeri’ (yang dinanti-nantikan) sampai ke bahagian Seberang Perai, kesesakan trafik yang begitu teruk telah ‘sampai’ di Seberang Perai.

“Kalau PTMP telah ada sebagai pelan khusus bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik di bahagian Pulau, saya mencadangkan Seberang Perai pun perlu mempunyai satu pelan induk pengangkutan yang khusus bagi menangani masalah kesesakan trafik yang begitu teruk, sekarang,” jelasnya semasa membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 31 Mei 2022.

Berucap lanjut, Choon Aik yang juga ‘ADUN Angkat’ Sungai Acheh memberitahu bahawa syor PIC sebagai badan peneraju Pelan Induk Pengangkutan Seberang Perai memgambil kira usaha menyusun semula aliran trafik akan melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan jalan di bawah penyelenggaraan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : LAW SUUN TING