SEDA digesa kaji semula polisi FIT

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPAS – Istilah ‘first come first serve’ (siapa cepat dia dapat) yang menjadi asas bagi pemohonan ‘feed-in tariff’ (FIT) sewajarnya diganti dengan ‘fit for all’ (layak untuk semua) bagi memastikan rakyat Malaysia menikmati faedah 1% cukai yang dibayar kepada nano penjana tenaga bebas atau nano-independent power producers (IPPs).

Gesaan tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sempena Forum CEO FIT di Penang Skills Development Centre (PSDC) di sini baru-baru ini.

Guan Eng dengan nada terkilan menyatakan bahawa polisi ‘first come first serve’ adalah bercanggah dan tidak adil berdasarkan laporan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau Sustainable Energy Development Authority (SEDA) yang menunjukkan bahawa jumlah kuota yang tidak dipenuhi bagi penjana solar fotovolta (PV) ialah 6650 kilowatt per jam.

Daripada jumlah tersebut 1650 kilowatt per jam adalah untuk separuh tahun pertama 2013 dan 2500 kilowatt per jam yang berikutnya adalah untuk separuh tahun kedua 2013 dan separuh tahun pertama 2014.

Ketua Menteri turut menegaskan bahawa SEDA perlu meningkatkan kuota setara dengan pertumbuhan pesat industri tersebut dan sambutan yang diberikan terhadap FIT serta memberi peluang kepada yang layak menikmati faedah tersebut.

SEDA merupakan salah sebuah organisasi yang terlibat dengan pelaksanaan FIT di Malaysia.
SEDA merupakan salah sebuah
organisasi yang terlibat dengan
pelaksanaan FIT di Malaysia.

“Polisi ‘first-come first serve’ tidak seharusnya digunapakai. ‘Fit for all’ lebih efektif dan lebih adil  kepada semua rakyat Malaysia termasuk warga Pulau Pinang,” ujar beliau dalam sidang media yang diadakan sejurus selepas forum tersebut.

Hadir sama, Pengarah Urusan Gading Kencana, Guntor Tobeng; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim, Pengarah Besar investPenang, Loo Li Lian dan Ketua Pegawai Komunikasi SEDA, Chen Wei Nee.

Beliau menambah bahawa Malaysia telah lama melaksanakan FIT sebagai salah satu alternatif bagi menggalakkan penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui termasuk daripada sumber solar, hidro, biogas mahupun biomas.

“FIT adalah kadar yang dibayar untuk setiap unit kilowatt per jam bagi setiap unit tenaga elektrik yang dijana oleh sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Sehingga hari ini, FIT merupakan salah satu mekanisme yang paling berjaya untuk merangsang pembangunan pesat industri tenaga yang boleh diperbaharui.

“Negara-negara seperti Jerman, Sepanyol, Amerika Syarikat, Denmark dan 40 buah negara lain di dunia telah lama mempelopori dasar-dasar FIT yang ternyata memacu pertumbuhan pesat dengan kadar kos penyelenggaraan yang minimum dan paling efektif,’’ jelasnya.

Katanya, pelaksanaan FIT mampu memberi peluang kepada penggiat industri tenaga yang boleh diperbaharui terutama IPPs sedia ada untuk menambah pendapatan. Anggaran penjanaan sekurang-kurangnya RM70 bilion (sektor swasta) ini akan diterjemahkan ke cukai pendapatan sekurang-kurangnya RM1.76 bilion pada tahun 2020 kelak.

“Manakala bagi syarikat utiliti tenaga seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), akan wujud portfolio yang lebih rendah bagi kos penjanaan elektrik dengan penggunaan sumber tenaga bebas dalam jangka panjang. Cukai berjumlah 1% akan dikenakan ke atas pelanggan TNB yang menggunakan 300 kilowatt per jam atau secara kasarnya RM77 setiap bulan bagi pembayaran FIT,’’ ujar Guan Eng.

Oleh demikian, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk menarik lebih  ramai IPPs untuk menceburi industri pembaharuan tenaga ini di Pulau Pinang. Malah Kerajaan Negeri sedang menimbangkan beberapa bentuk insentif antaranya penyediaan tapak (tanah) bagi tujuan pembangunan IPPs.

“Pulau Pinang turut menyumbang hampir RM20 juta bagi tujuan FIT setiap tahun. Jadi adalah tidak adil jika IPPs dan rakyat Pulau Pinang tidak berkesempatan dan tidak diberi peluang untuk menikmati faedah FIT,” ujar Ketua Menteri di hadapan kira-kira 200 individu daripada pelbagai latar belakang dalam industri tenaga dan utiliti,’’ katanya.