BAYAN LEPAS – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan membuat pengambilan balik tanah berkeluasan 3,000 ekar di bahagian Seberang Perai dengan anggaran kos kira-kira RM3 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Aziz Bakar berkata bahawa langkah itu adalah bagi menyediakan lebih banyak taman perindustrian baharu serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang mana sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata demikian semasa menjelaskan mengenai rangka Pelan Strategik PDC Tahun 2024 – 2028 yang berpaksikan pada LABS atau inovasi tanah, inovasi aset, perniagaan mampan dan profesional pintar.
“PDC LABS (Land Innovation, Asset Innovation, Business Sustainability dan Smart Profesional) terdiri daripada empat teras utama dan 15 strategi yang mana implementasi strategi yang dirangka diyakini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri Pulau Pinang,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2024-2028, Inisiatif Kelestarian dan GoDigital PDC di sini pada 25 Mac 2024.
Sebagai tambahan, Aziz turut menyatakan bahawa PDC dijangka akan berbelanja kira-kira RM5 bilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun bagi memastikan pertumbuhan berterusan ekonomi negeri berjaya.
Dalam pada itu, semasa merasmikan majlis tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya menaruh harapan tinggi agar kualiti taman-taman perindustrian di bawah seliaan PDC seperti Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP3) dan Batu Kawan Technology Park (BCPT) dengan konsep ketersediaan infrastruktur terus ditingkatkan.
‘Selari dengan Visi Penang2030, PDC telah menetapkan matlamat dan inisiatif jelas untuk tempoh lima tahun (2024-2028) akan datang melalui pelan strategik baharu berpaksikan LABS.
“Pelan strategik ini bukan sahaja akan membawa PDC ke arah pertumbuhan berterusan, malah juga menekankan nilai-nilai kelestarian dan digitalisasi yang semakin penting dalam ekonomi global masa kini,” ujarnya yang juga Pengerusi PDC.
Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut menjelaskan bahawa RM71.9 bilion aliran masuk pelaburan ke Pulau Pinang merupakan rekod paling tinggi di negara ini.
Menerusi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA), menurut beliau, Pulau Pinang berjaya memudah cara pelaburan sebanyak RM13.67 bilion pada tahun lepas di samping mencipta kira-kira 20,701 peluang kerjaya.
“Nilai pelaburan yang didorong pelaburan langsung asing (FDI) telah menyumbang sebanyak RM61.7 bilion atau 85.8 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan negeri Pulau Pinang.
“Saya yakin, situasi ini secara tidak langsung telah berjaya mengukuhkan keyakinan para pelabur antarabangsa dan tempatan terhadap potensi negeri (Pulau Pinang) ini sebagai antara lokasi pelaburan yang yang terbaik dalam negara,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashid Zinol; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo;’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar turut sertai majlis tersebut.
Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow mengaku bahawa Taman Teknologi Pulau Pinang yang diwujudkan di Bertam adalah contoh taman perindustrian baharu di negeri ini.
“Maka, selain daripada usaha PDC membuka tanah-tanah untuk taman industri baharu, kita (Kerajaan Negeri) pun tidak dapat menghalang sektor swasta yang melihat ianya sebagai suatu potensi (pelaburan).
“Memandangkan kita (Pulau Pinang) berjaya menarik pelaburan yang tinggi, ianya (PDC) memerlukan tanah-tanah untuk ditawarkan kepada pihak pelabur,” jelasnya lagi sambil memberitahu bahawa agensi negeri, Digital Penang turut akan memacu Pelan Induk Transformasi Digital (DTMP) secara serentak bagi menjana pertumbuhan ekonomi digital di Pulau Pinang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD