Sedia sahut cabaran baru, masa depan Pulau Pinang adalah Seberang Perai

Admin

BATU UBAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melihat pencalonan beliau untuk bertanding di Parlimen Batu Kawan adalah cabaran besar kepada dirinya.

 

Menurut beliau, cabaran yang bakal dihadapi di Parlimen Batu Kawan semestinya berbeza dari pelbagai faktor berbanding Parlimen Tanjong yang disandangnya sebelum ini.

 

“Dengan pembangunan pesat Batu Kawan dalam beberapa tahun ini, kita juga berdepan dengan beberapa isu seperti infrasruktur, kesesakan lalu lintas, banjir dan lain-lain.

 

“Seiringan dengan jawatan Ketua Menteri, saya harap saya mampu menyelesaikan permasalahan infrastruktur serta koridor industri, dan menjadikan ia sebagai asas kukuh untuk pembangunan masa depan.

 

“Saya lihat ia sebagai satu cabaran baharu dalam menyelesaikan segala permasalahan bagi memastikan Batu Kawan dan koridor industri ini terus memacu Pulau Pinang ke tahap pembangunan industri yang lebih tinggi,” ujarnya pada sidang media seusai Konvensyen Central Muslim Society (CMS 1.0) dekat Universiti Sains Malaysia (USM) di sini tengah hari tadi.

 

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

 

Tambah Kon Yeow, keluasan Parlimen Batu Kawan adalah meliputi Perai sehingga IKEA berhampiran Jambatan Sultan Halim Mu’adzam Shah.

 

“(Batu Kawan) semestinya kawasan yang berbeza dari segi keluasan geografi berbanding Parlimen Tanjong, juga pada komposisi kaum, kegiatan ekonomi dan sebagainya.

 

“Namun apa yang menarik perhatian saya adalah sebagaimana yang kerap saya katakan iaitu masa depan Pulau Pinang adalah Seberang Perai, dan Batu Kawan adalah koridor industri kepada Pulau Pinang.

 

“Pakatan Harapan (PH) juga telah memenangi kerusi ini (Batu Kawan) selama tiga penggal iaitu pada tahun 2008, 2013 dan 2018, namun kita akan terus bekerja keras dan tidak mengambil mudah,” ulasnya  yang juga ADUN Padang Kota.