Sediakan lokasi khusus untuk aktiviti penyembelihan ayam, cadang ADUN Komtar

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng mencadangkan supaya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mencari lokasi yang sesuai bagi membolehkan pengusaha ayam menjalankan kerja-kerja penyembelihan.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 baru-baru ini di sini.

Menurut Lai Heng, dahulu kerja-kerja penyembelihan ayam boleh dilakukan di dalam premis pasar awam namun dek kerana isu kebersihan dan kesihatan awam maka pihak berkuasa tempatan bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengeluarkan garis panduan untuk tidak melakukan kerja-kerja penyembelihan di dalam premis pasar awam.

“Pun begitu pihak Majlis (dalam hal ini merujuk kepada MBPP) perlu memberikan tempat alternatif bagi membolehkan penjual ayam menyembelih ayam.

“Hal ini demikian kerana, dalam bahagian pulau tiada satu pun tempat untuk penyembelihan ayam. Semuanya bergantung kepada pembekal di bahagian Seberang Perai.

“MBPP boleh mentransformasikan pasar awam atau kompleks makanan yang kurang dikunjungi menjadi pusat penyembelihan ayam dengan kemudahan sistem penapisan bahan sisa disediakan,” ujarnya yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Pada masa sama, Lai Heng percaya bahawa dengan adanya pusat penyembelihan di bahagian pulau ini akan membolehkan penjual ayam di bahagian pulau membekalkan ayam segar untuk pelanggan selain mendapatkan bekalan ayam bersih dari kilang di Seberang Perai.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING