Seeni Mee Sotong pecah rekod MBOR, saji 10,200 pek mi dalam 24 jam

Admin
dsc 6032

BERJAYA memecahkan rekod Malaysia Book of Records (MBOR) baru-baru ini, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Young Muslim Sports Club (YMSC) bersama-sama Seeni Food & Beverage Sdn. Bhd. memperoleh pengiktirafan bagi kategori “Most Mee Goreng Sotong Giveaway” secara percuma kepada orang awam.

Menariknya, sebanyak 10,200 pek mi goreng berjaya direkodkan dan digoreng oleh tiga generasi keluarga sama iaitu Sheik Abidin AKM Mustaffa, 80; anaknya, Seeni Mohamed Sheik Abidin, 47, dan cucu, Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohamed, 24.

Wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar LAW SUUN TING berkesempatan bertemu dengan SYED MUHAMMAD HAFIZ SEENI MOHAMED baru-baru ini dekat premis Seeni Mee Sotong untuk mengetahui lebih lanjut cerita di sebalik  kejayaan beliau dan keluarga menempa rekod.

 

Latar belakang

Menurut Syed Muhammad Hafiz atau lebih mesra disapa Hafiz, beliau merupakan generasi ketiga yang meneruskan perniagaan keluarga pada masa kini sejak dimulakan oleh moyangnya 47 tahun dulu.

“Perniagaan mi sotong ini diasaskan pada tahun 1977 oleh moyang, Syed Muhammad menggunakan kereta tolak kayu beroda tiga dan bergerak sekitar Pengkalan Weld ke Dewan Sri Pinang.

“Kemudian, sekitar tahun 1990 baru (kami) mula berniaga di Penang Bazaar, Jalan Penang dan kini sudah hampir 20 tahun perniagaan mi sotong bertapak di sini.

“Dulu, saya sering mengikut ayah ke premis (Seeni Mee Sotong) sejak umur sembilan tahun, sudah tentu saya merebut peluang untuk cuba menggoreng mi sendiri dan kini memahirinya,” ujar beliau yang kini berpengalaman lebih 15 tahun di dapur membantu ayahnya.

 

Menu dan produk istimewa

Hafiz yang merupakan graduan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut memaklumkan beliau kini mengendalikan perusahaan Seeni Food & Beverage Sdn. Bhd. manakala ayahnya pula di premis.

dsc 6041
MINUMAN air sarbat yang menjadi kegemaran pelanggan.

Perniagaan keluarga Hafiz turut diuji dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, pada tahun sama juga kilang Seeni Food & Beverage Sdn. Bhd. ditubuhkan.

“Oleh sebab pelanggan tidak dapat datang ke kedai disebabkan PKP, Seeni Food & Beverage Sdn. Bhd. mengeluarkan produk sendiri seperti mi sotong segera, jadi pelanggan boleh menikmati bila-bila masa di rumah.

“Sambutan untuk produk mi segera juga amat memberangsangkan meliputi dua kontena dieksport ke Dubai, Singapura dan China dua kali pada setiap bulan.

“Untuk makluman, pasaran domestik belum lagi ditembus dek baru sahaja dilancarkan semasa Majlis Pengiktirafan MBOR baru-baru ini,” tambahnya.

dsc 5877

dsc 5973
MENU popular di Seeni Mee Sotong yang menggunakan lebih 35 rempah ratus.

Kata Hafiz, perniagaan Seeni Mee Sotong juga tidak kurang memberangsangkan sejak dulu dek keistimewaan resepi turun temurun moyangnya.

Seeni Mee Sotong sememangnya lain dari yang lain, ditambah pula dengan sambal istimewa yang dicampur sendiri dengan menggunakan serbuk cili dikisar sendiri serta 35 rempah ratus.

“(Dan) resepi sambal ini hanya diketahui oleh generasi yang meneruskan perniagaan ini, rasa dan tekstur tetap sama seperti 47 tahun dulu tanpa diubah dek moyang menurunkan resepi turun temurun ini.

“Justeru, dari situ juga idea saya tercetus untuk mencabar diri menyertai MBOR kerana ingin membuktikan perniagaan ini sangat luar biasa kerana mengekalkan cara dan kaedah yang sama seperti arwah moyang dulu.

“Seeni Mee Sotong juga merupakan produk Buatan Malaysia dan dijamin halal serta telah dibuktikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Waktu beroperasi pula bermula jam 12 tengah hari sehingga 2 pagi dan dibuka setiap hari, ditambah pula dengan perkhidmatan penghantaran makanan seperti FoodPanda, GrabFood dan ShopeeFood yang tersedia, ia telah memudahkan kedua-dua belah pihak,” jelasnya.

 

Cabaran MBOR

dsc 2037
DARI kiri, Seeni Mohamed, Syed Muhammad Hafiz dan Sheik Abidin menunjukkan pengiktirafan MBOR yang dicapai baru-baru ini.

Walaupun banyak rintangan perlu dihadapi, Hafiz dan keluarga teguh menghadapinya kerana percaya pasti bakal ada sinar kejayaan kelak.

“Tidak dinafikan banyak juga cabaran yang perlu diharungi sepanjang persediaan untuk MBOR ini, tetapi saya tidak mengenal erti putus asa dan tetap meneruskan perjuangan ini.

“Perubahan dari segi tarikh untuk majlis dan permohonan lesen sudah tentu yang utama, persaingan juga ada tetapi saya bersyukur kami sekeluarga berjaya harunginya.

“Tidak mudah untuk menggoreng mi selama tempoh 24 jam, tangan juga bengkak, ayah dan datuk juga demam selepas majlis berkenaan, akan tetapi kejayaan yang diperoleh membuatkan setiap momen sangat bernilai.

“Suasana di sekitar majlis yang mana seramai lebih 150 pengunjung beratur pada satu-satu masa… kami (termasuk datuk dan ayah) menggoreng mi di ruang reruai yang tersedia setiap satu.

“Dua bulan sebelum majlis diadakan pihak kami telah dan menguar-uarkan di media sosial, oleh itu sambutan amat menggalakkan, lebih kurang 3 pagi sahaja pengunjung menyusut dan kembali ramai menjelang siang hari.

“Peniaga lain sudah tentu boleh sahaja menggoreng mi, tetapi tiada yang boleh menggoreng tanpa henti selama 24 jam sebanyak lebih 10,000 pek dengan rasa yang tidak lari,” jelasnya yang turut bangga akan kejayaan yang dicapai baru-baru ini.

 

Perancangan dan harapan

dsc 6055

dsc 6067
PREMIS Seeni Mee Sotong dekat Penang Bazaar di ibu kota.

Mengakhiri pertemuan, Hafiz turut memaklumkan beliau turut mempunyai perancangan untuk membuka cawangan di serata Malaysia.

“Sudah tentu saya juga ingin memperluaskan rangkaian perniagaan turun temurun ini, saya merancang untuk membuka francais di seluruh negeri kecuali Pulau Pinang, mungkin ada individu yang ingin berniaga tetapi tiada produk, oleh itu kami membuka peluang terhadap mereka yang ingin mencuba.

“Lagipun semua juga sedia maklum di Pulau Pinang memang banyak gerai mi sotong, oleh itu saya ingin ketengahkan lagi jenama Seeni Mee Sotong ini dan sentiasa memberi kepercayaan kepada pelanggan yang datang.

“Diharapkan dengan kejayaan MBOR baru-baru ini berjaya membuka mata umum mengenai jenama Seeni Mee Sotong,” katanya.