Segera ambil dos penggalak untuk tingkatkan perlindungan diri – Guan Eng

Admin

BAGAN JERMAL – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyeru agar lebih ramai penduduk terutamanya warga emas untuk segera mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak bagi meningkatkan perlindungan diri susulan pengingkatan kes varian Omicron.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Off-site Persatuan Ang Si Chong Soo, di sini yang merupakan PPV off-site pertama dalam kawasan Parlimen Bagan.

Lim Guan Eng ketika mengadakan lawatan ke PPV Off-site Persatuan Ang Si Chong Soo, di sini pagi tadi.

“Sejak mula beroperasi pada 27 Januari lalu, sepatutnya sudah lebih 6,000 orang sudah mendapatkan suntikan dos penggalak masing-masing di PPV ini tetapi kita dapati hanya 4,000 orang sahaja yang hadir sehingga hari ini.

“Jadi kita harap lebih ramai datang untuk menerima dos penggalak masing-masing sama ada melalui janji temu atau secara ‘walk in’, malah mereka juga boleh memilih jenis vaksin yang dimahukan,” katanya lagi sambil menambah bahawa PPV Off-site Persatuan Ang Si Chong Sooyang dikendalikan oleh Poliklinik Bagan menyediakan vaskin sehingga 1,200 dos sehari.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu yang juga Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee serta ADUN Bagan Dalam, M. Satees.

Mengulas perkara berkaitan, Guan Eng yang juga Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) mencadangkan supaya Menteri Kesihatan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi membendung pengingkatan varian Omicron.

“Walau bagaimanapun, SOP yang ditetapkan mestilah secara konsisten dan tidak ada pilih kasih kerana kita tidak mahu pelaksanaan undang-undang hanya terpakai kepada rakyat biasa manakala mereka yang berkepentingan pula terlepas begitu sahaja.

 

“Selain itu, kerajaan juga perlu memberikan kesedaran dan didikan kepada rakyat mengenai bahaya varian Omicron dan bukan hanya menggunakan tindakan penguatkuasaan dan hukuman semata-mata.

Orang ramai hadir mendapatkan dos penggalak masing-masing.

“Jangan seenang-wenangnya mengeluarkan saman kepada rakyat sebaliknya bantulah mereka untuk mematuhi SOP selain memudahcarakan pemberian dos penggalak,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menggesa supaya Pilihanraya Negeri (PRN) Johor ditangguhkan bagi mengelakkan kes jangkitan COVID-19 terus meningkat di negara ini.

“Menteri Kesihatan perlu membuat keputusan sama ada mahu melaksanakan SOP secara serius atau mahu mengikut negara barat yang telah melonggarkan SOP kerana varian Omicron dianggap kurang berbahaya berbanding varian Delta sebelum ini.

“Oleh itu, sekiranya beliau mahu melaksanakan SOP secara serius maka PRN Johor perlu ditangguhkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan secara kolektif untuk menolak sekeras-kerasnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya ia mahu dilaksanakan semula.

“Saya mahu tegaskan bahawa tidak boleh lagi ada PKP lagi kerana ia terbukti gagal dan telah menjejaskan ekonomi negara secara serius,” tegasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR