Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
KEBUN BUNGA – Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa menyiapkan kerja-kerja menyelenggara kebocoran paip pembentungan Perumahan Awam Padang Tembak sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada penghujung Januari ini.
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, masalah itu seringkali berlaku walaupun kali terakhir dibaik pulih pada 30 Jun 2012.
“Selepas beberapa lama kita masih menerima 420 aduan dari pakej satu dan 430 bagi pakej kedua.
“Setelah dibaiki masih terdapat baki 114 unit rumah dari pakej satu dan 39 unit rumah dari pakej dua masih gagal dibaiki.
“Justeru, saya ingin menggesa JKR supaya segera mencari punca dan pulihkan kebocoran sebelum Tahun Baru Cina yang bakal tiba,” jelasnya semasa membuat lawatan kilat di sini baru-baru ini.
Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera) dan Cheah Kah Peng (Ahli Dewan Undangan Negeri Kebun Bunga) turut menyertai lawatan itu.
Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat menjelaskan, pakej pertama kerja baik pulih yang melibatkan 2,112 unit rumah di sini akan menelan belanja RM3,639,817.47, manakala, RM3,220,412.62 di bawah pakej kedua akan melibatkan 1,632 unit rumah.
Tidak cukup dengan itu, lif di blok A, C, F, G dan H akan ditukar secara berperingkat bermula tahun ini hingga tahun 2016, yang melibatkan kos antara RM600,000 hingga RM900,000 setiap satu projek.
Tambah beliau, lif di blok B telahpun diganti pada 25 Julai 2012, manakala lif di blok J diganti pada 6 Julai tahun lepas dengan perbelanjaan kedua-duanya berjumlah RM1,291,500.
Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, kerja-kerja mengecat di enam blok baki wajar disegerakan, selepas kerja-kerja mengecat di tiga blok lain telahpun selesai.