TELUK BAHANG – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari menggesa penduduk Pulau Pinang menyegerakan pendaftaran maklumat isi rumah melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Menurutnya, data yang diperolehi melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pendaftaran PADU di kalangan rakyat Pulau Pinang masih lagi rendah.
“PADU ini sangat penting untuk penyaluran bantuan oleh Kerajaan Persekutuan kepada golongan sasar dan data-data ini dijamin keselamatannya.
“Penting untuk semua mendaftar supaya kerajaan dapat salurkan bantuan secara lebih efisien kerana semua data dalam sistem PADU ini telah diintegrasikan dengan semua jabatan,” ujar Zairil ketika meninjau pendaftaran PADU peringkat luar bandar di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dekat Sungai Pinang, Balik Pulau, baru-baru ini.
Mengulas mengenai PEDi, Zairil berkata beliau berpuas hati melihat pengoperasian pusat tersebut sebagai sebagai lokasi pendigitalan luar bandar terutamanya melibatkan usahawan dan sebagainya.
Hadir sama, Pengarah DOSM Pulau Pinang, Khairolnizam Hassan.
Khairolnizam dalam pada itu memaklumkan sehingga 15 Januari lepas, cuma 4.9 peratus penduduk Pulau Pinang mendaftar dengan sistem PADU.
“Ini mewakili 60,388 individu daripada 1.2 juta penduduk Pulau Pinang yang berusia 18 tahun ke atas.
“Penduduk Pulau Pinang berjumlah 1.7 juta dan kita memerlukan 1.2 juta berusia 18 tahun ke atas dan warganegara untuk mendaftar,” katanya.
Susulan jumlah pendaftaran masih rendah, kita (DOSM) sedang mempergiatkan usaha bagi mengalakkan penduduk negeri ini untuk berdaftar, antaranya, membuka kaunter PEDi di seluruh negeri selain Pusat Tranformasi Bandar (UTC), pejabat DOSM sendiri, kompleks beli-belah dan kawasan tumpuan serta karnival-karnival dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai,” kataya kepada pemberita.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD