KEBUN BUNGA – Kerajaan Negeri telah mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk menyegerakan pelan tindakan kecemasan seperti yang dibentangkan pada Mesyuarat Exco hari ini.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, PBAPP telah membentangkan cadangan melaksanakan dua pelan tindakan kecemasan dan telah diluluskan dalam mesyuarat tersebut.
“Secara ringkasnya, tindakan yang perlu diambil adalah melaksanakan secepat mungkin dua pelan tindakan yang telahpun diluluskan (dalam Mesyuarat Exco).
“Pelan A adalah untuk mengepit semula (re-clamping) bahagian paip bocor.
“(Dan) sekiranya berjaya pada 26 Januari ini kita akan dapat memulihkan bekalan air kepada 84 peratus daripada 120,000 pengguna yang terkesan terutama di bahagian Barat Daya dan sebahagian Timur Laut,” ujarnya.
Kon Yeow berkata demikian pada sesi sidang media selepas mengadakan lawatan ke ‘panthal’ sempena perayaan Thaipusam yang bakal disambut esok di sini.
Menurut Kon Yeow, kerja-kerja mengepit semula dijadualkan siap pada 8.00 pagi esok (25 Januari) dan pemulihan (bekalan air) akan kembali 100 peratus pada hari Sabtu jam 8.00 pagi.
“Tetapi Pelan A adalah pelan sementara kerana sejak Disember sehingga 10 Januari apabila berlaku kebocoran, PBAPP akan baiki sebagai langkah sementara.
“Manakala Pelan B pula, kerja-kerja telahpun bermula pada 14 Januari iaitu pemasangan dua paip merentasi Sungai Perai di bahagian permukaan sungai.
“Apabila siap, paip sedia ada di dasar Sungai Perai tidak akan digunakan lagi, bermakna ada lencongan air,” katanya yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif PBAPP.
Mengikut jadual asal sebelum ini, Kon Yeow dimaklumkan bahawa kerja-kerja pemasangan dua paip tersebut akan mengambil masa selama 21 hari (sehingga 2 Februari 2024), namun disegerakan dan dijangka siap pada Isnin, 29 Januari 2024.
“Dijangkakan pada 30 Januari ini, bekalan air akan dihentikan sementara waktu bagi pemasangan sambungan paip sedia ada ke paip baharu.
“Selama 16 jam diperlukan untuk sambungan paip baharu dan pada 31 Januari 2024 air akan dipulihkan mengikut jadual kepada pengguna.
“Tujuan Pelan B adalah untuk menghentikan penggunaan paip sedia ada sepenuhnya,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa lori-lori tangki air telah digerakkan ke kawasan terjejas dan berharap pengguna dapat menyimpan air sehingga kerja-kerja penggantian paip selesai.
Terdahulu, PBAPP melalui kenyataan media memaklumkan bahawa Pelan A membabitkan kerja-kerja mengepit semula kebocoran lubang seluas 1.05 x 0.65 meter pada bahagian saluran paip 1,350 milimeter (mm) di dasar Sungai Perai.
Pelan B pula membabitkan pemasangan dua paip baharu berukuran 600mm bagi menggantikan paip sedia ada.
Kedua-dua Pelan A Dan Pelan B kini sedang dilaksanakan serentak di tapak dekat Sungai Perai.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI