BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri sejak tahun 2013 memperkenalkan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Pulau Pinang (TPM80PP) untuk membantu Perbadanan Pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan harta bersama di pangsapuri awam dan swasta yang layak seluruh Pulau Pinang.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap kepimpinan baharu JMB Taman Sireh dapat segera membuat permohonan TPM80PP berwajib bagi kerja-kerja menyelenggara kerosakan struktur bumbung dan tangki air serta masalah tekanan air rendah di pangsapuri berusia lebih 30 tahun tersebut.
“Ini, suatu isu yang perlu segera ditangani dan saya akan berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa air.
“Justeru, saya berharap Badan Pengurusan Bersama dapat bekerjasama dengan pihak kita bagi menangani satu perkara demi satu perkara,” jelasnya yang juga calon Perpaduan bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota selepas mengadakan sesi temu bincang serta melawat kawasan pangsapuri Taman Sireh tersebut di sini pada 31 Julai 2023.
Calon Perpaduan bagi KADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung turut sertai sesi temu bincang dan lawatan kawasan pangsapuri tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI