GEORGE TOWN – Orang ramai yang sebelum ini memohon borang pendaftaran untuk pemilikan rumah kos sederhana rendah (KSR) dan rumah mampu milik Kerajaan Negeri ketika pengumuman pelaksanaan projek perumahan Bandar Cassia, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS) digesa agar segera mengembalikan borang-borang yang lengkap.
Ini adalah berikutan projek perumahan berkenaan telah bermula kini dan pihak pemaju juga telah memohon senarai-senarai nama berkaitan daripada Kerajaan Negeri untuk proses lanjut.
Seruan tersebut dibuat Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.
Katanya, sebanyak 100,000 ribu borang pendaftaran telah diedarkan bermula pada Disember tahun lalu (2013) bagi memberi peluang kepada orang ramai memiliki rumah-rumah mampu milik di sini.
“Hingga tarikh 20 Mac 2014, peratusan yang memulangkan borang pendaftaran hanya sekitar tiga peratus iaitu 2,723 berbanding 100,000 borang yang telah dikeluarkan.
“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) menggesa pemohon-pemohon berkaitan supaya menghantar semula borang tersebut pada kadar segera demi membolehkan proses pemprosesan dijalankan dengan lebih cepat.
“Ini kerana, projek perumahan tersebut telah bermula dan pihak pemaju juga telah meminta senarai nama pemohon melalui Kerajaan Negeri,” ujarnya pada sidang media khas baru-baru ini di sini.
Projek perumahan Bandar Cassia secara keseluruhan meliputi 12,000 unit dengan pecahan 4,800 unit berkeluasan 800 kaki persegi, 900 kaki persegi (4,200) dan 1,000 kaki persegi (3,000).
Jagdeep dalam pada itu mencadangkan agar pendaftaran berkaitan dapat dilakukan menerusi talian ataupun pembukaan kaunter di tapak projek.
“Kita (Kerajaan Negeri) kini dalam fasa pemilihan.
“Lebih cepat mereka (pemohon) hantar, kebarangkalian dipilih adalah lebih tinggi,” ujar beliau.