BUKIT TAMBUN – Firma pemaju hartanah swasta, GUH Development Sdn. Bhd. akan membina satu blok rumah pangsa 20 tingkat yang terdiri daripada 208 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A atau Kos Rendah (KR) seharga RM42,000 sebuah di atas tanah lapang berkeluasan 2.3 ekar bersebelahan Masjid Jamek Al-Ihsaniah, Simpang Ampat di sini.
Semasa berucap, Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap proses kelulusan permohonan mula kerja tanah bagi projek ‘rumah ganti rumah’ tersebut dapat dipercepatkan peringkat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Jom pecah tanah dan bina rumah, sebab sudah begitu lama (isu penempatan semula penduduk asal Kampung Baru ini) berlarutan.
“Semoga projek (Pangsapuri Kampung Baru, Simpang Ampat) ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” jelasnya yang juga ‘Caretaker’ Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam majlis berkaitan di perkarangan Masjid Jamek Al-Ihsaniah dekat sini pada 9 Julai 2023.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini komited untuk memacu serta membangunkan agenda perumahan negeri sekali gus memenuhi keperluan rakyat setempat terutama 140 keluarga asal di sini.
Berucap pada majlis sama, ‘Caretaker’ Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyatakan bahawa seramai 140 keluarga asal dari Kampung Baru, Simpang Ampat telah menandatangani perjanjian dengan pihak pemaju untuk menerima seunit rumah pangsa kos rendah berkeluasan 900 kaki persegi sebagai saguhati.
Kata mantan ADUN Datuk Keramat itu lagi, 22 ‘extended family’ lain turut ditawarkan seunit rumah pangsa kos rendah berkeluasan 750 kaki persegi dengan harga kawalan negeri.
‘Caretaker’ Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pula memberitahu bahawa kerja-kerja tanah bagi projek pemajuan Pangsapuri Kampung Baru Simpang Ampat itu sekali gus melambangkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mengekalkan penduduk asal dalam kalangan bangsa Melayu hasil impak arus pembangunan setempat.
Manakala mantan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik pula berkata beliau terlibat dalam isu penempatan semula 140 penduduk asal Kampung Baru, Simpang Ampat sejak tahun 1997.
Semasa itu, menurutnya, tanah berkaitan belum berpindah tangan kepada GUH Holdings Berhad lagi.
“Seramai 94 keluarga telah menandatangani perjanjian dengan tuan tanah sebelum ini, untuk menggantikan rumah sedia ada dengan rumah baharu.
“Akan tetapi, selepas kira-kira 21 tahun, projek penggantian rumah ini tidak dapat ditunaikan, dan pemilik tanah telah bertukar tangan kepada GUH pada tahun 2014,” ujarnya.
Tambah Choon Aik, atas kapasiti sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBPP) bersama-sama mantan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthurirani sejak tahun 2014, beliau memulakan proses rundingan semula dengan melibatkan wakil GUH, kelompok penduduk asal Kampung Baru Simpang Ampat berkenaan serta beberapa pihak lain.
“Disebabkan isu ini berlarutan terlalu lama sejak 1997, ada sesetengah pihak menganggap ia tidak mungkin (manifesto berkaitan) dapat direalisasikan serta orang-orang politik tidak boleh dipercayai lagi.
“Akan tetapi, kami (wakil rakyat parti pemerintah) bertekad serta turun padang… akhirnya pada akhir tahun 2018, kita berjaya memastikan kedua-dua belah pihak (wakil GUH dan 140 penduduk asal Kampung Baru, Simpang Ampat) menandatangani perjanjian berwajib,” ulasnya sambil berharap projek perumahan rakyat itu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dari sekarang, dapat disiapkan lebih awal.
Turut berucap, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan, GUH Holdings Berhad, Datuk Seri Kenneth H’ng Bak Tee.
Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Penghulu kawasan Bukit Tambun, Mohamad Saaddudin Khalid (mewakili Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, SPS); Ketua Pegawai Operasi GUH Holdings Berhad, Lewis H’ng Chun Li; Naib Presiden (Bahagian Harta) JKP Sdn. Bhd., Jamilah Awang; Pengerusi Masjid Jamek Al-Ihsaniah Simpang Ampat, Ustaz Mohd. Sofkhi Ibrahim dan Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Al-Ihsaniah, Shahidi Sheriff.
Salah seorang penduduk asal Kampung Baru Simpang Ampat, Aniza Darus, 62, yang ditemui kemudian menzahirkan rasa syukur atas perkembangan baharu berhubung status penempatan semula mereka yang terlibat di sini.
“Saya tinggal bersama ayah dan seorang anak, (sementara) tiga lagi anak telah berkahwin dan berpindah keluar.
“Nak dapat rumah ganti rumah pun begitu lambat, tetapi saya bersyukur sebab rumah kami yang sedia ada pun dah dimakan anai-anai.
“Saya berharap projek (pembinaan Pangsapuri Kampung Baru Simpang Ampat) ini dipercepatkan, dapat ‘rumah ganti rumah’,” katanya sambil memberitahu bahawa rumah sedia ada yang didiami di sini seringkali dilanda banjir kilat.
Rofeah Awang, 59, menyatakan bahawa beliau juga berharap projek ‘rumah ganti rumah’ dapat disegerakan oleh syarikat pemaju GUH berkenaan.
“Saya sudah kematian suami, tinggal di rumah sedia ada yang kecil di sini bersama-sama dua anak.
“Rumah kami agak daif, bumbung bocor, kalau hujan begitu lebat, tidak perlulah saya jelaskan bagaimana keadaan rumah kami.
“Jadi, saya begitu gembira dan berharap projek ‘rumah ganti rumah’ ini dapat disegerakan agar kehidupan kami bertambah baik di sini,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan projek Pangsapuri Kampung Baru Simpang Ampat selama ini.
Jasmizan Mat Esa, 51, pula memberitahu bahawa beliau berharap pihak berwajib turut cakna mengenai isu pelbagai habitat hidupan liar di kawasan tanah hutan yang akan dimajukan menjadi Pangsapuri Kampung Baru Simpang Ampat supaya tidak menimbulkan isu kacau ganggu di kawasan penempatan berhampiran lain.
“Saya masih bujang, kerja sendiri dan tinggal di (Kampung Baru Simpang Ampat) bersama-sama mak saya.
“Semasa Iconic Point Simpat Ampat dimajukan menjadi lot-lot komersial, habitat hidupan liar telah hilang tempat tinggal mereka, mengakibatkan kacau ganggu di kawasan perumahan berhampiran termasuk di Kampung Baru Simpang Ampat.
“Macam rumah saya di sini (Kampung Baru Simpang Ampat), bumbung habis rosak dikerjakan oleh kera, kadang-kala boleh menemukan hidupan bisa yang lain seperti ular dan sebagainya…itu belum kira banyak babi hutan terlepas masuk dalam kawasan kampung kami.
“Saya pernah membuat aduan kepada Jabatan Perhilitan, saya harap pemaju yang akan membangunkan kawasan hutan yang ada habitat di Kampung Baru Simpang Ampat (menjadi Pangsapuri Kampung Baru Simpang Ampat) ini juga ambil tahu isu ini, supaya isu kacau ganggu tidak berlaku di kawasan perumahan berhampiran iaitu (sebahagian) Kampung Baru dan Taman Kasawari,” ujarnya sambil menyambut baik projek ‘rumah ganti rumah’ di sini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD