Sehingga Februari 2020, 233 permohonan TPM80PP diluluskan babit dana berjumlah RM33.9 juta – Exco

DATUK KERAMAT – Sehingga Februari 2020, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan sejumlah 233 permohonan di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) membabitkan jumlah perbelanjaan mencecah RM33.9 juta.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, 233 permohonan tersebut melibatkan sejumlah 386 projek yang diluluskan untuk tahun ini sehingga Februari sahaja.

“Kelulusan setiap daripada projek ini diluluskan mengikut piawaian yang ditetapkan, kita berikan keutamaan kepada isu melibatkan lif, tangki air dan juga bumbung terlebih dahulu.

“Ia diberikan kepada skim perumahan swasta yang layak, di mana Kerajaan Negeri akan membantu memberi dana sehingga 80 peratus, manakala bakinya ditanggung pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan penduduk” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke Blok 33 Taman Soon Boon Kee di sini pagi tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen, R.S.N. Rayer (Ahli Parlimen Jelutong), ‘Ainul Fadhilah Samsudi (Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri) dan P.Kumarasamy (Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Soon Boon Kee).

Terdahulu, Jagdeep yang juga merupakan ADUN Datuk Keramat mengumumkan kelulusan sejumlah RM90,560 bagi menggantikan dua unit tangki air di Taman Soon Boon Kee di sini.

“Kerajaan Negeri pada 3 Februari lalu telahpun meluluskan projek bagi menggantikan dua unit tangki air di taman ini dengan kos RM113,200.

“80 peratus daripada pembiayaan tersebut (RM90,560) ditanggung Kerajaan Negeri, dan bakinya adalah dibiayai oleh penduduk.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan bantu projek yang memerlukan, kegunaan tabung inipun sememangnya untuk manfaat rakyat.

“Tetapi, selaku JMB dan badan pengurusan perlu mengambil inisiatif agar mengoptimumkan kutipan penyelenggaraan… dan tanggungjawab ini bermula daripada penghuni demi keselesaan semua,” ujarnya lagi.

Projek penggantian tangki air berkenaan akan bermula kira-kira 12 minggu lagi dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini.

Selain tangki air, difahamkan bahawa Taman Soon Boon Kee turut pernah menerima pembiayaan dana daripada TPM80PP bagi penyelenggaraan lif pada tahun 2014 dan pembinaan tembok kira-kira dua tahun lalu.

Dalam perkembangan berasingan, ketika disoal pemberita berhubung status projek penyelenggaraan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah  Projek Penyelenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan (TPPM). Jagdeep dalam responsnya berkata pihaknya melalui Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan menjalankan pemantauan terhadap perkembangan projek-projek penyelenggaraan berkaitan.

“Akhir tahun lalu (2019), daripada RM101 juta yang dimohon Kerajaan Negeri melalui dua tabung berkenaan, sejumlah RM23 juta telah pun diluluskan untuk Pulau Pinang.

“Memandangkan ia telahpun diluluskan, maka kita (Pulau Pinang) akan terus memantau penyaluran dana berkenaan diberikan untuk tujuan penyelenggaraan berkenaan,” ujarnya sambil merujuk kepada situasi terkini landskap politik negara.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN