Sehingga Mac 2021, 268 permohonan TPM80PP diluluskan babit dana berjumlah RM42.38 juta

PANTAI JEREJAK – Sejumlah RM42.38 juta telah diperuntukkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Pulau Pinang (TPM80PP) sehingga Mac 2021 bagi melaksana 268 projek penyelenggaraan serta naik taraf perumahan di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, skop permohonan paling tinggi adalah membabitkan kerja-kerja menaik taraf/menggantikan lif serta penggantian/pembaikan tangki air di skim-skim perumahan berstrata.

“Sebanyak 450 kerja telah dilaksanakan meliputi 254 penaiktarafan/penggantian lif dengan kos RM22,171,525.74, manakala pembaikan/penggantian tangki air atau sistem perpaipan sebanyak 131 kerja (RM9,701,286.80).

“Bantuan seperti ini telah memberi manfaat kepada ribuan penduduk yang mendiami skim-skim perumahan berstrata.

“(Dan) ini juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat negeri Pulau pinang yang mendiami perumahan swasta,” ujarnya pada sidang media pengumuman penyelenggaraan TPM80PP di Pangsapuri Mahsuri dekat Bayan Baru sebentar tadi.

Skop kerja lain adalah membabitkan membaiki/menaik taraf bumbung (RM2,684,867.28), pengecatan (RM6,358,025.04), penurapan jalan (RM27,917.70), dinding bata/pagar (RM708,679.36), keretakan (RM5,830), jeriji tangga (RM271,300) dan kelulusan khas bencana (RM456,900).

Hadir sama Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Pada sidang media yang sama, Jagdeep turut mengumumkan kelulusan peruntukan sejumlah RM936,695.76 atau 80 peratus peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan enam buah lif di Pangsapuri Mahsuri di sini.

Jelasnya, baki kos projek iaitu RM234,173.94 (20 peratus) akan ditanggung pihak Perbadanan Pengurusan (JMB) pangsapuri berkenaan dengan menjadikan keseluruhan kos adalah RM1, 170,869.70.

“Terdapat 180 unit perumahan di sini dengan jumlah penghuni dianggarkan kira-kira 700 orang, di mana pangsapuri ini telah siap dibina pada tahun 1991 di bawah kawal selia Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Namun kini, kesemua kerja-kerja penyelenggaraan perumahan swasta yang layak akan diurus tadbir di bawah satu agensi sahaja iaitu Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), dan ini termasuk semua projek yang sebelum ini di bawah seliaan PDC,” maklum beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLENAA RAHAYU AHMAD RADZI