‘Seimbang Untuk Sejahtera’ tema Sambutan Hari Wanita Sedunia 2019

Admin

GEORGE TOWN – ‘Seimbang Untuk Sejahtera’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 yang diraikan hari ini.

Tema itu dipilih bagi meraikan wanita-wanita di seluruh dunia yang menjadi tunggak dalam pembentukan keluarga yang penyayang serta menjadi pemangkin terhadap kemajuan negara.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng ketika hadir menyempurnakan majlis sambutan di Komtar berkata, mesej penting tahun ini adalah kaum wanita haruslah diberi peluang sama rata sejajar dengan tema ‘Seimbang Untuk Sejahtera’.

“Keseimbangan terhadap wanita haruslah diberikan dalam aspek ekonomi, keusahawanan, politik dan sebagainya.

“Bagai berat sama dipikul, ringan sama dijinjing haruslah diamalkan oleh suami isteri dalam kehidupan bagi menyeimbangkan kerjaya dan tugasan seorang isteri,” katanya ketika berucap pada majlis berkaitan, petang ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Setia Urus, Dato’ Ir. Ang Choo Hong; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Pulau Pinang, Marhaini Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Shaballah Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Chong Eng memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang melancarkan Dasar Keterangkuman Gender (DKG) yang pertama di Malaysia bagi mengurangkan ketidaksamarataan jantina dan menambah baik kesedaran sivik masyarakat, semalam.

“Selain itu, baru-baru ini Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di setiap KADUN juga ditubuhkan yang mana 15 orang ahlinya terdiri daripada wanita dapat menganjurkan program bagi membangunkan keluarga dan juga wanita,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS