PADANG KOTA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mungkin mencadangkan dewan sekolah dan dewan komuniti sebagai pilihan terakhir untuk dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah sekiranya peningkatan kes aktif pandemik berkenaan masih tinggi.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sekiranya lokasi yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri ketika ini kurang sesuai atau tidak mencukupi, maka dewan komuniti dan sekolah boleh digunakan sebagai PKRC Berisiko Rendah.
“Keadaan sekarang semakin kritikal sekaligus menimbulkan tekanan yang tinggi, malah pusat kuarantin yang disediakan oleh Kerajaan Negeri ketika ini pula sudah mencapai had maksimum.
“Oleh itu, ada cadangan yang mana sekiranya sesi persekolahan masih tidak dibuka maka kelas-kelas yang ada boleh digunakan sebagai pusat kuarantin tetapi ia tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Namun, sekiranya kita terpaksa menggunakan kemudahan-kemudahan ini, ia bermakna kes aktif COVID-19 telah meningkat dengan begitu tinggi dan mungkin tidak dapat dikawal lagi,” katanya ketika menjawab soalan pemberita semasa mengadakan sidang media selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan memerlukan di sini sebentar tadi.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa terdapat juga cadangan daripada pihak-pihak berkaitan untuk menjadikan hotel sebagai PKRC Berisiko Rendah tetapi kos yang diperlukan adalah amat tinggi.
“Malah, ada juga desakan untuk golongan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan telah dijangkiti COVID-19 yang mana mereka ini diminta untuk menanggung kos kuarantin sendiri sekiranya ditempatkan di hotel-hotel,” ulasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa tapak Pesta Pulau Pinang dekat Sungai Nibong yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri sebagai PKRC Berisiko Rendah baharu sebelum ini adalah tidak sesuai menurut Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).
“JKNPP tidak memberikan alasan lanjut mengenai perkara ini dan kita (Kerajaan Negeri) menghormati keputusan tersebut.
“Walau bagaimanapun, kita akan mengadakan satu mesyuarat khas pada Selasa (12 Januari 2021) untuk merancang tindakan selanjutnya berdasarkan keputusan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan esok hari,” ujarnya.
Mengulas mengenai isu yang timbul di PKRC Berisiko Rendah Balik Pulau baru-baru ini, Kon Yeow menjelaskan bahawa pihak berkuasa telah bertindak memindahkan semua pesakit COVID-19 berstatus warganegara ke lokasi yang baharu.
Walau bagaimanpun beliau memberitahu bahawa adalah tidak menjadi masalah untuk menempatkan pesakit tanpa mengira kewarganegaraan memandangkan semua individu yang dimasukkan ke PKRC Berisiko Rendah adalah telah disahkan positif COVID-19.
“Isu yang timbul adalah kemudahan serta keselesaan dan bukannya warna kulit atau kewarganegaraan.
“Jika kemudahan yang disediakan baik, maka tidak akan timbul masalah walaupun warganegara dan bukan warganegara ditempatkan di lokasi sama.
“Cuma perkara ini menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk tempatan kerana isu-isu melibatkan warga asing yang berlaku di negara kita sebelum ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berharap agar pihak berwajib dapat menggunakan ‘Big Data Analytic’ untuk menilai sama ada langkah yang diambil Kerajaan Persekutuan dalam menangani COVID-19 sebelum ini mencapai sasaran atau sebaliknya.
“Kita perlu mengguna pakai teknologi dengan sebaiknya untuk mencari kaedah baru bagi mengawal keadaan ketika ini,” serunya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD