GEORGE TOWN – Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) membangunkan sekolah Islam antarabangsa pertama di negeri Pulau Pinang dalam usaha memperkukuh institusi pendidikan Islam serta permintaan masyarakat Islam di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, penubuhan sekolah tersebut adalah hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), YIPP dan Al-Hamra Integrated School.
“Kerjasama itu juga membawa manfaat besar dalam melengkapkan ekosistem pendidikan Islam di Pulau Pinang khususnya dalam menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada golongan Muslim profesional dan komuniti ekspatriat yang menetap di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Iftar Jamie Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Bersama-Sama Guru-Guru Takmir Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, sekolah berkenaan dibangunkan di atas tapak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan Al-Mashoor di Pulau Tikus dengan peruntukan RM11.8 juta.
“Sekolah ini dijangka siap pada Jun depan dan beroperasi pada September dengan menyasarkan kemasukan lebih 600 pelajar,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIPP, Dr. Mohamad Sofee Razak berkata, hasrat untuk membangunkan sekolah Islam antarabangsa bermula sejak tahun 2016 tetapi tertangguh ekoran kekurangan sumber kewangan.
“Sebenarnya kami merancang untuk membina sekolah ini di atas tanah milik YIPP di Sungai Ara, Bayan Lepas tetapi projek terpaksa dihentikan kerana berdepan masalah kewangan pada ketika itu walaupun infrastruktur sudah hampir siap.
“Selain itu, kami juga berdepan dengan beberapa isu melibatkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tetapi telah berjaya diselesaikan oleh Dr. Mohamad (Abdul Hamid) selepas beliau menjawat jawatan Timbalan ketua Menteri I,” katanya ketika dihubungi Buletin Mutiara tadi.

Demi untuk mengurangkan kos dan percepatkan operasi, Mohamad Sofee berkata, pihaknya memutuskan untuk menguna pakai bangunan SMKA Perempuan Al-Mashoor di Pulau Tikus yang terbiar sejak 10 tahun lalu.
“Jadi kami lakukan kerja-kerja pengubahsuaian menggunakan peruntukan daripada MAINPP yang mana kalau mengikut perancangan akan siap pada Jun tahun ini.
“Apabila beroperasi kelak, sekolah ini akan diuruskan oleh YIPP dengan bantuan dana daripada pihak MAINPP dan kutipan dana awam untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
“Selepas itu, kami akan bergantung sepenuhnya kepada kutipan yuran daripada pelajar-pelajar untuk kos pengoperasian sekolah ini,” ujarnya.
Mohamad Sofee berkata, sekolah berkenaan akan mengguna pakai kurikulum antarabangsa bagi membolehkan pelajar menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
“YIPP juga akan melantik rakan strategik kami iaitu Al-Hamra Integrated School sebagai pakar runding terutamanya bagi mata pelajaran agama (lingustik Arab).
“Al-Hamra (Integrated School) sudah beroperasi lebih 10 tahun dan sistem yang mereka gunakan telah diterima di lebih 13 negara dan melibatkan kira-kira 1,000 buah sekolah di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata, sekolah Islam Antarabangsa Al-Mashoor akan dibina mengikut spesifikasi antarabangsa yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk makmal Al-Quran dan makmal Arabic (Communication).
“Sasaran kami bukan sahaja ekspatriat tetapi pelajar tempatan di sekolah-sekolah antarabangsa di negeri ini yang tidak mempunyai latar belakang islamik.
“Di Pulau Pinang ada kira-kira 14 buah sekolah antarabangsa yang mana setiap sekolah mempunyai 30 hingga 40 peratus pelajar Muslim, jadi mereka inilah merupakan prospek terbesar kami.
“Yuran yang akan dikenakan kepada pelajar adalah masih berpatutan dan boleh kira sebagai kelas menengah.
“Saya juga difahamkan bahawa Zakat MAINPP turut akan menaja kira-kira 20 pelajar kurang berkemampuan yang memenuhi kelayakan mengikut standard sekolah antarabangsa sekiranya mereka berhasrat untuk belajar di sekolah ini,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT