Sekolah KAFA Integrasi Tasek Gelugor berkonsepkan mesra dan santai, tarik minat pelajar

MESRA & SANTAI… Kelas mengaji al-Quran dan prep malam (kelas persediaan) anjuran Madrasah al-Ibtidaiyyah Pekan Tasek Gelugor (Sekolah KAFA Integrasi) yang berkonsepkan mesra dan santai ternyata berjaya menarik minat ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas berkenaan.

Pendekatan mesra dan santai diterapkan oleh tenaga pengajar memberi keseronokan kepada para pelajar.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 50 hingga 70 pelajar yang berumur antara enam hingga 13 tahun mengikuti kelas selama dua jam bermula dari jam 8.00 malam hingga 10.00 malam.

Guru Besarnya, Mohd. Amir Syazwan Mohd. Nazeri menyatakan hasrat untuk menjadikan Sekolah KAFA Integrasi tersebut sebagai sebuah sekolah yang unik dengan membawa konsep ‘Your One Stop, Learning Islamic Center’.

“Saya juga mahu memaksimumkan aktiviti siang dan malam di sekolah ini pada setiap hari sebagai pusat ilmu yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat setempat,” ujarnya lagi.

Solat berjemaah antara program berbentuk kerohanian yang dijalankan setiap bulan.

Difahamkan, selain konsepnya yang menarik, kelas yang dianjurkan secara percuma kepada kanak-kanak di kawasan setempat itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti bulanan berbentuk motivasi dan kerohanian seperti pertandingan hafalan hadis nabi, soal jawab, solat berjemaah, serta banyak lagi.

Sebagai rekod, Madrasah al-Ibtidaiyyah Pekan Tasek Gelugor merupakan sekolah tertua di Tasek Gelugor yang dibina sejak 1942 dan masih kekalkan bangunan lama sehingga kini.