GEORGE TOWN – Bagi tahun ke-15, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pada pagi ini menyampaikan peruntukan bantuan khas tahunan sejumlah RM2.39 juta kepada sekolah Tamil, tadika sekolah Tamil, sekolah Punjabi dan peruntukan Tabung Khas Jawatankuasa Sekolah Tamil.
Mengikut pecahan peruntukan, RM2 juta disumbangkan kepada 28 sekolah Tamil mengikut keperluan pembangunan masing-masing; 19 tadika sekolah Tamil (RM150,000), tiga sekolah Punjabi (RM90,000) dan baki RM150,000 lagi disalurkan kepada Tabung Khas Jawatankuasa Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang.
Semasa mengumumkan pemberian sumbangan bantuan tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pentadbirannya menyedari bahawa semua sekolah vernakular di negeri ini memerlukan lebih peruntukan bagi memenuhi pelbagai keperluan infrastruktur dan pembangunan fizikal.
Sehubungan itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa pentadbirannya akan berusaha meningkatkan lagi jumlah peruntukan tahunan pada masa hadapan.
“Saya difahamkan ada permintaan (peruntukan sumbangan bantuan khas) bagi tahun seterusnya, ini bukan unik bagi sekolah aliran Tamil, sekolah aliran Cina pun ada membuat permintaan yang sama.
“Meskipun jumlah (peruntukan sumbangan bantuan khas) ini mungkin tidak banyak, tetapi inilah komitmen Kerajaan Negeri supaya kita dapat menggerakkan yang terbaik daripada segi penyediaan infrastruktur dan fasiliti yang optimum demi keselesaan serta suasana Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) lebih kondusif dan terjamin,” jelasnya dalam majlis penyampaian cek replika sumbangan berkaitan di Auditorium A, Komtar dekat sini pada 9 Februari 2023.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy atas kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil kerana sepanjang tempoh 15 tahun ini begitu gigih berusaha membantu projek pengembangan potensi serta infrastruktur fizikal sekolah-sekolah berkenaan.
Berucap sebelum itu, Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi menyatakan bahawa kepentingan sekolah vernakular akan terus dipelihara selagi Pakatan Harapan diberi mandat mentadbir negeri Pulau Pinang.
“Selama Pakatan Harapan ‘wujud’ di negeri Pulau Pinang, kita akan terus memberi sokongan kepada sekolah aliran Tamil dan sebagainya kerana ia penting sebagai sebahagian daripada identiti negara Malaysia,” ujarnya yang juga ADUN Perai.
Manakala, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. K. Ambalakan pula dalam ucapannya antara lain memberitahu bahawa kebanyakan murid yang belajar di sekolah aliran Tamil adalah daripada kelompok keluarga berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40), serta wajar diberi perhatian sewajarnya daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri sendiri.
“(Ini kerana,) sebahagian peruntukan (khas) yang diberikan kepada sekolah digunakan untuk membantu pada pelajar ini dengan memberikan mereka subsidi makanan.
“Sebahagian besar kanak-kanak yang belajar di sekolah Tamil datang dari keluarga yang terlalu miskin, seolah-olah kais pagi makan pagi kais petang makan petang…ada yang datang ke sekolah tanpa mengambil sarapan pagi.
“Di sini, saya ingin menyampaikan permintaan kepada Kerajaan Negeri supaya menambah sedikit (peruntukan) bantuan khas pada tahun hadapan kepada sekolah-sekolah Tamil (dan sebagainya),” ulasnya dalam nada sederhana.
ADUN Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; ADUN Pulau Tikus, Lee Chun Kit; ADUN Berapit, Heng Lee Lee dan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan antara yang hadir pada majlis penyampaian replika cek sumbangan bantuan khas kepada kepara wakil sekolah berkenaan.
Sebagai rekod, Kerajaan Negeri mula menyalurkan peruntukan khas bantuan sumbangan kepada sekolah-sekolah Tamil, tadika sekolah Tamil dan sekolah Punjabi sejak tahun 2009.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI