GEORGE TOWN – Projek pembangunan pasar tani kekal di Tapak Ekspo Seberang Jaya serta pengeluaran dan pembekalan durian tempatan merupakan antara isu yang dibangkitkan pada sesi kunjungan hormat delegasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke atas Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.
Pengerusi FAMA Malaysia, Aminuddin Zulkipli yang mengetuai delegasi tersebut berkata, selain projek pembangunan infrastruktur pemasaran FAMA juga bertanggungjawab dalam memasarkan produk-produk agromakanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bunga-bungaan dan produk industri asas tani serta makanan.
“Lebih banyak program (yang diadakan) lebih baik kerana membantu pemasaran produk sama ada sayur, buah-buahan atau produk agromakanan lain sekali gus memperluas (saiz) pasaran produk-produk yang ada,” ujarnya telah menerajui agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu sejak Mei 2023.
Menurutnya lagi, FAMA juga berperanan memantau pengeluaran dan bekalan produk-produk agromakanan bagi memastikan permintaan sama ada pasaran domestik mahupun antabangsa dipenuhi.
Dalam pada itu, Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd. Azraei Ramli yang turut menyertai delegasi itu memberitahu mengenai perkembangan pembangunan pasar tani kekal di Tapak Ekspo Seberang Jaya.
Difahamkan, tujuan pembangunan berkenaan adalah untuk memberi kemudahan kepada rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan harian berkualiti pada harga rendah di samping meningkatkan kecekapan rantaian pemasaran produk-produk agromakanan di negeri ini.
Menyentuh mengenai pengeluaran dan bekalan durian di Pulau Pinang, Timbalan Pengarah (Operasi) FAMA Pulau Pinang, Mohd. Junaidi Raziqin memaklumkan bahawa beberapa inisiatif diambil oleh FAMA Pulau Pinang bagi membantu meningkatkan jumlah pengeluaran dan bekalan durian.
Katanya, pada musim durian yang lalu, Pulau Pinang telah mengeluarkan 8,800 tan metrik merangkumi durian kampung dan juga klon yang mana ada antaranya dieksport ke luar negara seperti ke Hong Kong.
“Malah, ada antara variasi durian seperti ‘Tokun Top’ dan ‘Tupai Emas’ yang akan dikomersialkan kelak,” katanya yang juga hadir pada sesi berkaitan di sini.
Turut sama, Timbalan Pengarah (Pengurusan) FAMA Pulau Pinang, Roslan Wahi.
Sementara itu, dalam reaksi balas, Kon Yeow memaklumkan bahawa sektor agromakanan merupakan antara sektor penting di Pulau Pinang.
“Meskipun Pulau Pinang sebuah negeri kecil yang mana sektor agromakanan bukanlah sektor utama, namun ia tetap penting dan menyumbang terhadap pertumbuhan (Keluaran Dalam Negeri Kasar, KDNK) negeri ini.
“Bersandarkan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah menjenamakan semula portfolio terdahulu kepada Agroteknologi dan Keselamatan Makanan merangkumi skop tumpuan yang lebih meluas dan moden.
“Saya percaya dengan mekanisme pemasaran yang dilaksanakan pada peringkat Kementerian (Pertanian dan Keterjaminan Makanan) dan FAMA sendiri akan membantu memacu sektor ini dengan lebih baik lagi,” jelasnya.
Selain itu, turut dibangkitkan adalah isu harga ayam yang turun pada hari ini menjadi RM7.70 sekilogram berbanding minggu-minggu sebelum ini serta isu berkaitan sara hidup dan kesesakan trafik di beberapa kawasan di negeri ini.
Usai, sesi kunjungan, Kon Yeow menerima bakul cenderamata berupakan produk segar dan produk diproses yang dihasilkan oleh FAMA.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS