Sektor MICE sedia dibuka dengan pelaksanaan SOP ditetapkan

Admin

PANTAI JEREJAK – Kelonggaran pembukaan sektor MICE iaitu mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diharap memperoleh respons sebaiknya oleh para pengusaha terhadap normal baharu dipraktikkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa meskipun pelbagai prosedur operasi standard (SOP) ketat dikenakan, namun kesempatan tersebut seharusnya digunakan oleh para pengusaha pelancongan dan MICE untuk melakukan yang sebaik-baiknya meskipun mempunyai kekangan.

Menurut beliau, pendekatan penjenamaan semula para pengusaha adalah perlu terhadap ruang awam dan pusat konvensyen bagi penganjuran MICE iaitu cabaran besar kepada pihak berkenaan.

“Kita berharap para pengusaha dapat respons terhadap normal baharu ini kerana ia (normal baharu) yang akan memberi impak kepada pengusaha secara tidak langsung.

“Pada pihak Kerajaan Negeri, kita akan cuba sedaya-upaya untuk bekerjasama dengan para pengusaha bagi menyakinkan rakyat dan pelbagai sub-sektor lain bahawa walaupun SOP ketat dikenakan, namun penganjuran mesyuarat dan sebagainya masih boleh diadakan selagi SOP dipatuhi,” ujarnya sejurus melakukan lawatan ke SPICE Konvensyen Centre di sini bagi meneliti persediaan terhadap pematuhan SOP digariskan.

Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin; Dato’ Abdul Halim Hussain (Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Kepenggunaan dan Pembangunan Keusahawanan); Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) dan Ng Han Seong (Pengurus Besar Kumpulan SP Setia) hadir sama.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) mengumumkan kebenaran penganjuran MICE dengan beberapa SOP ketat antaranya hanya mengehadkan peserta seramai 250 orang sahaja.

Justeru, sebagai lokasi penganjuran MICE tersohor di Pulau Pinang, pihak SPICE telah membuat persediaan rapi mengikut garis panduan SOP ditetapkan.

Bercakap pada sidang media sama, Soon Hin memberitahu bahawa sekiranya bukan disebabkan pandemik COVID-19, Pulau Pinang dijangka menerima lebih 2,000 aktiviti MICE pada tahun ini.

“Ia merupakan kerugian besar kepada negeri, tetapi kita (Kerajaan Negeri) tidak pernah menghentikan apa yang telah dilakukan sebelumnya dalam memaparkan Pulau Pinang sebagai satu destinasi MICE yang unggul.

“Malah, sebagai persediaan menerima kembali aktiviti MICE, pejabat saya (PETACH) bersama-sama dengan PICEB (Penang Convention & Exhibition Bureau) telah merangka satu SOP holistik.

“SOP ini dirangka dengan mengambil kira pandangan pemegang taruh dan pemain industri terlibat termasuk hotel, pengangkutan serta sebagainya.

“Sebagai sebuah negeri yang merupakan destinasi MICE, kita kini bersedia untuk membuka kembali sektor MICE dengan pelaksanaan semua SOP ditetapkan Kementerian,” ulas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALVIE CHENG