Sektor pelaburan Pulau Pinang tidak terjejas

Admin

BUKIT TAMBUN – Sektor pelaburan di Pulau Pinang tidak terjejas meskipun negara kini berdepan cabaran penyebaran wabak Koronavirus (Covid-19) dan krisis politik pada peringkat Persekutuan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, krisis politik dan serangan wabak (Covid-19) yang melanda negara adalah bersifat sementara (interim) dan ia mampu ditangani dengan sebaiknya.

“Pelaburan di negeri ini nampaknya tidak terjejas dan ada beberapa pelaburan telahpun diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) untuk Pulau Pinang pada Januari lalu.

“(Dan) saya percaya sesiapa pun yang menjadi kerajaan selepas ini, dasar-dasar berhubung dengan pelaburan asing tidak akan berubah sebaliknya akan ditambah baik,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan kilang pembuatan berteknologi tinggi oleh Smith+Nephew dekat Persiaran Cassia 8 di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Mohd. Bazid Abd Kahar.

Turut serta, Pengarah InvestPenang, Dato’ Seri Lee Kah Choon; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Dato’ Loo Lee Lian; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud; Presiden Global Operation Smith+Nephew, Mark Dladwell serta wakil-wakil pihak berkaitan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa keadaan perang perdagangan di antara Amerika dan China telah memberi kelebihan kepada negara-negara di Asia Tenggara terutamanya Malaysia kerana mempunyai dasar yang menggalakkan pelaburan.

“Malaysia kini berada pada kedudukan yang baik berbanding negara-negara jiran kerana dasar-dasar kita adalah untuk menggalakkan pelaburan seperti ekosistem yang baik, infrastruktur serta bakat yang mencukupi bagi menarik pelabur-pelabur.

“Selain itu, Pulau Pinang turut memainkan peranan penting sebagai lokasi pelaburan asing dan tempatan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa Pulau Pinang mampu mencatatkan jumlah pelaburan lebih tinggi bagi tahun 2019.

“2019 adalah tahun yang paling baik dalam sejarah industri di Pulau Pinang dengan mencatatkan RM13.3 bilion sehingga bulan September 2019 tetapi angka-angka sehingga akhir (2019) kita dimaklumkan bahawa MIDA akan buat pengumuman pada minggu akan datang.

“Dan, saya percaya sehingga akhir tahun mungkin angkanya lebih tinggi sedikit,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS