GEORGE TOWN – Sektor pelancongan negeri menunjukkan momentum yang menggalakkan dengan peningkatan ketara penerbangan serta pergerakan penumpang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata peningkatan tersebut mencerminkan keberkesanan strategi sambungan udara serta promosi pelancongan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kekerapan penerbangan antarabangsa meningkat kepada 287 penerbangan setiap minggu pada Oktober 2024.
“Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 4 peratus berbanding 276 penerbangan pada Oktober tahun lepas.
“Penerbangan domestik pula meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada 307 penerbangan setiap minggu berbanding 299 penerbangan dalam tempoh masa sama pada tahun 2023,” katanya semasa sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 dekat sini semalam.
Hon Wang berkata, Pulau Pinang juga merekodkan 34 laluan penerbangan terus antarabangsa yang dikendalikan oleh pelbagai syarikat penerbangan yang menghubungkan 18 bandar di seluruh dunia.
“Dengan pelancaran dua lagi laluan terus baharu pada Disember ini, rangkaian sambungan Pulau Pinang akan berkembang kepada 36 laluan merangkumi 20 bandar,” katanya.
Beliau berkata, terdapat dua destinasi yang dilancarkan melibatkan penerbangan terus dari Guilin dan Haikou, Chia telah dihentikan atas faktor kekurangan penumpang.
“Kedua-duanya adalah melibatkan perkhidmatan sewa khas,” ujanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS