PADANG KOTA – Sektor pelancongan terus menjadi antara penyumbang kepada ekonomi Pulau Pinang apabila mencatatkan kehadiran 7.79 juta pelancong melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (PIA) tahun lepas.
Menurut Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin angka itu sekaligus mengatasi rekod 7.2 juta pelancong yang dicatatkan pada tahun 2017.
“Oleh yang demikian, sektor perkhidmatan termasuk pelancongan menyumbang kira-kira 50 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dan memintas industri pembuatan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Pulau Pinang seringkali mendapat perhatian dalam sektor pelancongan global… tahun 2019, CNN Travel meletakkan Pulau Pinang antara 19 destinasi terbaik untuk dikunjungi pada musim bunga 2019.
“Manakala bagi pilihan pembaca Conde Nast Traveller meletakkan Pulau Pinang antara senarai 30 pulau terbaik di dunia,” ujar Soon Hin ketika berucap pada Perasmian Penang Street Food Festival 2019 (PSFF 2019) di Lebuh Pantai baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Pengarah Penang Global Tourism (PGT), Ooi Chok Yan dan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia, Khoo Boo Lim.
Tambah Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, selain menjadi destinasi pilihan, makanan Pulau Pinang juga kerap menempa nama di peringkat global seperti asam laksa yang pernah diiktiraf sebagai makanan kelapan tersedap di dunia serta pengiktirafan Asia’s Next Great Foodie City.
Bercakap mengenai saranan meletakkan ikon pelancongan Pulau Pinang tahun hadapan, Soon Hin berkata, perkara tersebut tidak perlu kerana rakyat negeri ini sudah cukup untuk diangkat sebagai duta pelancongan.
“Jadi kita semua perlu bersedia untuk menyambut ketibaan para pelancong tahun hadapan atas inisiatif Kerajaan Negeri memperkenalkan Experience Penang Year 2020 (EPY 2020).
“Saya percaya rakyat negeri ini mampu untuk menjadi duta pelancongan negeri dengan keramahan serta produk-produk pelancongan yang ditawarkan.
PSFF yang disambut kali ketiga tahun ini mengenengahkan 90 gerai pelbagai juadah istimewa dari seluruh pelosok negeri yang dikumpulkan dibawah satu bumbung sesuai dengan jolokan sebagai syurga makanan.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI