Sektor pembuatan dan perkhidmatan penggerak utama pertumbuhan ekonomi negeri – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Sektor pembuatan dan perkhidmatan kini menjadi penggerak kepada kemajuan ekonomi Pulau Pinang dan merupakan antara menyumbang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri selain sektor pelaburan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri dalam kerangka untuk mempelbagaikan cabang ekonomi agar Pulau Pinang tidak terlalu bergantung kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Pulau Pinang sebelum ini dikenali sebagai negeri yang kuat dalam sektor pembuatan tetapi dalam dua atau tiga tahun kebelakangan ini, sumbangan sektor perkhidmatan juga mula menampakkan perubahan.

“Sekarang ini, kita (Kerajaan Negeri) dapati satu keadaan yang mana selain sektor pembuatan, sektor perkhidmatan juga mencapai keputusan baik sehingga masing-masing menyumbang hampir 48 peratus kepada KDNK negeri.

“Hal ini bermakna Pulau Pinang kini mempunyai dua penggerak utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri iaitu sektor pembuatan dan juga perkhidmatan,” katanya dalam rancangan Bicara Politikonomi di RTM1 bertajuk Visi Penang2030 dekat The Top, Komtar di sini pada 21 Februari lalu.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa Pulau Pinang kini berusaha untuk menarik pelaburan dalam sub sektor baharu bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti di negeri ini.

“Contohnya, kita berusaha mendapatkan pelaburan dalam industri peranti perubatan yang dilihat mampu mencipta pelaburan serta peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Dalam bidang perkhidmatan pula, selain pelancongan kita juga dapati ada sektor penyumberan luar global seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perakaunan yang dilihat mampu menarik pelabur bagi menempatkan ibu pejabat rantau Asia di negeri ini,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri menjangkakan mampu mencapai kira-kira RM15 bilion nilai pelaburan sepanjang tahun 2019.

“Sehingga September tahun lepas, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan paling tinggi dalam sejarah berakhir iaitu RM13.3 bilion pelaburan asing serta tempatan, dan ini merupakan prestasi yang amat baik.

“Justeru, kita berharap agar tahun ini kita juga dapat terus mengekalkan keyakinan pelabur dan mencapai pelaburan yang tinggi walaupun berdepan dengan beberapa cabaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menzahirkan harapan agar Visi Penang2030: Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara dapat membuka peluang kepada semua rakyat jelata untuk melibatkan diri dalam dasar-dasar Kerajaan Negeri.

“Walaupun ada pihak-pihak yang sangsi terhadap prestasi Pulau Pinang dalam membantu rakyat dengan membangkitkan isu politik tetapi hakikatnya kita mendapat sokongan padu daripada rakyat pada Pilihanraya Umum Ke-14 lalu.

“Buktinya adalah dengan penambahan peratusan sokongan yang diperoleh selain pertambahan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Walau bagaimanapun, kita tidak boleh puas hati kerana selagi rakyat tidak dapat nikmati hasil daripada pembangunan negeri, selagi itu kita (Kerajaan Negeri) perlu menambahkan lagi usaha,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : NOOR SITI NOORAZIS