Sektor penanaman padi catat hasil RM190.8 juta pada tahun 2022

GEORGE TOWN – Walaupun bersaiz kecil, negeri Pulau Pinang masih berjaya mengekalkan hasil purata pengeluaran padi tertinggi dalam negara selama enam tahun berturut-turut iaitu sejak tahun 2018 sehingga kini.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi berkata bahawa sektor penanaman padi negeri Pulau Pinang berjaya membuahkan hasil sebanyak RM190.8 juta pada tahun 2022.

“Pulau Pinang masih mengekalkan tempat pertama dari segi pengeluaran hasil tahunan secara pukal meskipun kawasan tanaman sepanjang tahun semakin mengecil sepanjang tahun,” katanya pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini semalam.

Fahmi berkata, pengeluaran hasil yang tinggi tersebut mampu dicapai melalui inisiatif Kerajaan Negeri yang menyalurkan insentif dan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada pesawah di negeri ini.

“Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Jabatan Pertanian di bawah Projek Pembangunan Tanaman Padi bagi membantu pesawah padi untuk kekal produktif.

“Peruntukan tambahan sebanyak RM440,000 telah disalurkan kepada Jabatan Pertanian dalam usaha membasmi penularan keladi agas dan rumpai dalam petak sawah.

“Pada tahun 2022 pula, peruntukan sebanyak RM500 secara one-off diberikan kepada seramai 5,262 orang pesawah di seluruh negeri yang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.631 juta,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Mengikut Data Geospatial Guna Tanah Semasa Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2022, jumlah keluasan tanah pertanian adalah seluas 41,106 hektar.

Keluasan tanah pertanian mengikut sektor sawah padi, ternakan, sayur-sayuran dan buah-buahan di Pulau Pinang mengikut peratusan dari keluasan negeri adalah seperti berikut: Sawah padi: 12690.8 hektar (30.87 peratus), ternakan: 1003.7 hektar (2.44 peratus), sayur-Sayuran: 982.3 hektar (2.38 peratus) dan buah-buahan: 2754.2 hektar (6.70 peratus).
Fahmi berkata, dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022, sektor pertanian telah menyumbang sebanyak 1.8 peratus iaitu RM2.1 billion berbanding RM2 billion pada tahun 2021.

“Subsektor perikanan merupakan penyumbang terbesar dengan sumbangan 39.6 peratus, diikuti subsektor tanaman sebanyak 31.7 peratus manakala subsektor ternakan sebanyak 28.8 peratus,” katanya.

Menyentuh mengenai pencapaian, Fahmi berkata bahawa Kerajaan Negeri berjaya mencapai sasaran penubuhan 100 kebun komuniti yang telah mencecah110 projek pertanian dengan penglibatan peserta seramai 1,729 orang.

“Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Kebun Komuniti Pulau Pinang sebagai langkah untuk menyelaraskan pengurusan kebun komuniti dan kebun dalam bandar supaya lebih tersusun dan bersistematik.

“Usaha ini adalah untuk memastikan penubuhan kebun dan aktiviti tanaman yang dijalankan mengikut peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa serta mengelakkan kejadian kebun terbiar selepas satu tempoh masa.

“Garis Panduan ini akan mempertingkatkan komitmen pengusaha kebun komuniti dan menjamin cara penggunaan tanah dan cara tanaman yang sesuai demi kesinambungan setiap kebun komuniti yang ditubuhkan,” katanya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN