Sektor pertanian, perikanan & veterinar P. Pinang catat pertumbuhan

SEBERANG JAYA – Impian rakyat untuk menyaksikan acara tahunan seperti Pesta Pulau Pinang di bahagian Seberang Perai akhirnya menjadi kenyataan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan sedemikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Seberang Perai Fiesta 2016, yang berlangsung pada 14 hingga 18 September lalu di Tapak Ekspo Seberang Jaya.

“Itulah sebabnya bagi acara berkembar Pesta Pulau Pinang, sekarang buat julung-julung kalinya diadakan Seberang Perai Fiesta.

“(Seberang Perai Fiesta) mempunyai potensi yang baik, bergantung kepada mutu pengurusan serta idea inovasi dan kreatif, barulah boleh menarik pengunjung khususnya anak-anak muda.

“Saya bukan minta (Seberang Perai Fiesta) ini diadakan selama sebulan seperti Pesta Pulau Pinang, tapi pada tahun depan diadakan lebih lama (berbanding lima hari pada tahun ini),” jelasnya.

Turut berucap, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya serta Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng, Dato’ Maktar Shapee (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, DUN Pulau Pinang), Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.

Menurut Guan Eng, sektor pertanian, perikanan dan veterinar negeri ketika ini mencatatkan pertumbuhan, sungguhpun Pulau Pinang dikenali sebagai negeri perindustrian.

Justeru katanya, penganjuran Seberang Perai Fiesta 2016 sekaligus merupakan pengiktirafan Kerajaan Negeri atas sumbangan golongan petani, penternak, nelayan serta usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk rakyat Pulau Pinang.

“Peningkatan hasil ini menunjukkan hala tuju cekap dan telus oleh Kerajaan Negeri dan juga jabatan-jabatan yang terlibat disambut baik oleh warga tani di negeri ini,” ujarnya yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Hasil tangkapan ikan bagi tahun 2014 adalah sebanyak 45,880 tan metrik atau RM463 juta, dan meningkat RM21 juta pada tahun 2015 dengan rekod 49,782 tan metrik atau RM484 juta. Nilai hasil ternakan pada 2014 pula dicatatkan peningkatan RM93.38 juta menjadi RM844.10 juta berbanding tahun sebelumnya.

Bagi tahun 2015, nilai hasil ternakan adalah sebanyak RM832.11 juta dengan nilai komoditi utama adalah ayam dan khinzir. Hasil dalam bidang pertanian bagi tahun 2015 keseluruhannya berjumlah RM477 juta berbanding RM429 juta pada tahun 2014, dengan jumlah hasil meningkat sebanyak RM48 juta. Bagi sektor perikanan akuakultur, jumlah bagi tahun 2015 adalah sebanyak 58,682 tan metrik dengan nilai RM1,114 juta.

Sebelum itu, Afif dalam ucapannya memberitahu bahawa Seberang Perai Fiesta 2016 adalah gabungan tiga acara, iaitu Agrofest, Food Mega Festival dan Tanjuung Art Fest.

Menurut beliau, lebih 100 gerai pameran makanan terpilih dari seluruh negara dibuka sepanjang fiesta sulung peringkat Seberang Perai berkaitan, termasuk acara ‘Food Truck’.

Maimunah pula menyatakan, idea penganjuran Seberang Perai Fiesta dicetuskan oleh Guan Eng sendiri, ketika berlangsung Pesta Pulau Pinang pada hujung tahun lalu.