Selain penjajaran kewangan, Guan Eng syor Pulau Pinang mohon geran Persekutuan

Admin
764c739d 5295 4b64 b60e ceb6fe7b2d49 LIM Guan Eng

GEORGE TOWN – Sejumlah RM98,500,000 anggaran tahun 2024 yang diperuntukan dalam bentuk geran kepada 25 agensi, anak syarikat dan badan berkanun negeri di Pulau Pinang, tetapi telah dikurangkan dan menjadi RM76,368,000 selepas Kerajaan Negeri membuat penjajaran geran tahunan semasa.

Demikian Jawapan Bertulis Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15.

Mengulas Jawapan Bertulis tersebut, Guan Eng yang juga mantan Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri hari ini wajar mempertimbang untuk mendapatkan peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan, sungguhpun mengakui perkara itu adalah sukar.

“Perbelanjaan tahun 2017 kepada 25 agensi (negeri) adalah hampir RM64 juta, dinaikkan hampir RM79 juta pada tahun 2017…sehingga tahun 2024 (anggaran) tertinggi iaitu RM98,500,000.

“Tetapi, berlaku pula penjajaran atau dalam istilah kewangan dikenali sebagai penyemakan semula (anggaran) jumlah peruntukan tahun (2024).

“(Penjajaran Tahun 2024) ini adalah kerana kekurangan kewangan (peringkat Kerajaan Negeri).

“Jadi, daripada (anggaran) RM98.5 juta yang diperuntukan bagi tahun tahun 2024, selepas penjajaran dilaksanakan, (Anggaran Tahun 2024) dikurangkan menjadi RM76.4 juta, dengan kekurangan kira-kira RM22 juta

“Kita bimbang dengan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri, dan ini dicerminkan daripada peruntukan agensi-agensi kerajaan dikurangkan sebanyak 22 peratus

“Boleh minta duit (pinjaman) daripada Pusat, tetapi bukan mudah, sebagai jangka masa pendek; untuk jangka masa panjang kena cari kaedah-kaedah lain.

“Sekarang, mungkin boleh minta geran daripada Kerajaan Persekutuan… kalau kita (Kerajaan Negeri) pinjam RM1 daripada Kerajaan Pusat, biasanya kita bayar balik RM1 juga (dan) tiada faedah (dikenakan),” jelasnya dalam sidang media berkaitan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 29 Mei 2024.

Turut serta, beberapa ADUN lain, antaranya Chee Yeeh Keen (Bagan Jermal), K. Kumaran (Bagan Dalam), Heng Lee Lee (Berapit), Ong Ah Teong (Batu Lancang) dan Joseph Ng Soon Siang (Air Itam).

7efd8930 0e10 49a4 b4a9 bd6cf1c638cfBerdasarkan salinan jawapan bertulis, sepatutnya Majlis Sukan Negeri (MSN) menerima anggaran geran tahun 2024 sebanyak RM12 juta tetapi menjadi RM7 juta, dengan kurangan peruntukan sebanyak RM5 juta selepas penjajaran kewangan.

Begitu juga Penang Global Tourism Sdn. Bhd., sepatutnya menerima geran tahunan 2024 sejumlah RM7 juta tetapi ‘dipotong’ RM1 juta, selepas penjajaran.

Perbadanan Perpustakaan Negeri Pulau Pinang pula diberi geran RM5.6 juta selepas penjajaran kewangan berbanding anggaran tahun 2024 yang asal iaitu RM8 juta, dengan kurangan sebanyak RM3.2 juta.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata selepas penjajaran kewangan menyaksikan anggaran geran Kerajaan Negeri kepada ketiga-tiga agensi negeri tersebut ‘dipotong’ secara ketara.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Guan Eng menjelaskan bahawa Kumpulan Wang Disatukan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2019 direkodkan sebagai RM1.125 bilion, tetapi rizab negeri tersebut mengalami penyusutan ketara dan berbaki RM330.05 juta dengan kurangan sebanyak RM825 juta.

“Tentu wang (rizab) ini lebih baik disimpan dalam bank atau instrumen-instrumen kewangan yang lain, kalau tidak kita (Kerajaan Negeri) akan hilang (pulangan) faedah dan sebagainya,” jelasnya juga juga mantan Menteri Kewangan.

Untuk rekod, baki pinjaman Kerajaan Persekutuan belum selesai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sehingga 31 Mac 2021 adalah sebanyak RM49.6 juta dan merupakan jumlah hutang terkumpul paling rendah berbanding negeri-negeri lain.

Menjelang tengah hari tadi, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam Sesi Soalan Lisan antara lain mengesyor 20 peratus atau kira-kira RM1.6 bilion setahun dari sumber hasil kutipan cukai Persekutuan di Pulau Pinang, supaya dikembalikan ke negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD