Selaraskan waktu operasi perniagaan makanan dan penjajaan di pasar awam, gesa Jagdeep

Admin
JAGDEEP Singh Deo (depan, kanan) dan Ir. Addnan Mohd. Razali dalam sidang media di Pasar Awam Taman Free School, Datuk Keramat di sini pada pagi tadi.

DATUK KERAMAT – Waktu penjajaan makanan semasa tempoh ‘full lockdown’ yang bermula 8.00 pagi di pasar-pasar awam wajar diselaraskan dengan operasi penjajaan barangan mentah yang ketika ini dibenarkan beroperasi seawal jam 6:00 pagi.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian selepas mengadakan pemeriksaan mengejut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan di Pasar Awam Taman Free School di sini pada awal pagi tadi.

Menurutnya, penyelarasan semula waktu perniagaan tersebut demi memudahkan penduduk setempat mendapatkan akses makanan secara bungkusan serta barang-barang keperluan basah sekali gus dalam tempoh yang sama ketika keluar dari rumah.

“Mereka (penjaja kecil) diminta oleh Kerajaan Pusat untuk mula menjual makanan (secara bungkusan) pada pukul 8:00 pagi…walhal pasar dibenarkan buka pukul 6 (pagi) di tempat yang sama.

“Jadi, kita minta untuk dipertimbangkan untuk diselaraskan (waktu operasi menjaja bagi semua jenis perniagaan di pasar awam yang sama),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat di sini pada 24 Jun 2021.

Turut serta, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; pengerusi persatuan penduduk setempat; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; dan anggota-anggota penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Di samping itu, Jagdeep turut merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya menyalurkan bantuan yang mencukupi kepada penduduk Pulau Pinang termasuk penjaja kecil, sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Kami (Kerajaan Negeri) akan cuba sebaik mungkin untuk membantu rakyat tetapi Kerajaan Persekutuan juga wajar melakukan perkara yang sepatutnya kepada warganegara Malaysia di Pulau Pinang,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN