Selenggara cerun guna peruntukan RM10 juta diluluskan KKR, kata Exco

Admin
img 5487

TANJONG BUNGA – Peruntukan berjumlah RM10,002,000 yang diluluskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) pada Februari lalu akan digunakan untuk menyelenggara dua belas cerun berisiko tinggi yang telah dikenal pasti di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata lima daripada dua belas cerun berisiko tinggi tersebut adalah terletak di Daerah Timur Laut manakala tujuh lagi di Daerah Barat Daya.

“Perbelanjaan di Daerah Timur Laut akan ditanggung sebanyak RM3,868,000 daripada peruntukan kesuluruhan, sementara baki RM6,134,000 akan disalurkan ke Daerah Barat Daya. Kontraktor yang ditetapkan untuk menjalankan kerja-kerja ini adalah Pintas Utama Sdn Bhd (PUSB),” ujar Zairil.

“Sebanyak RM3,868,000 daripada jumlah peruntukan akan digunakan untuk membaiki cerun di Daerah Timur Laut, sementara baki RM6,134,000 lagi akan disalurkan ke Daerah Barat Daya “Kerja-kerja utama yang akan dilaksanakan termasuk ujian tanah, penyediaan tapak dan pemulihan kawasan yang terjejas disebabkan kejadian tanah runtuh,” katanya dalam sidang media di Jalan Low Yat dekat sini baru-baru ini.

img 5504
(Dari kiri); WAN Eika Tansukasih Che Daud, Rohaizi Hashim, Zairil Khir Johari dan Mohd. Khairul Nizam Fuzi sedang berbincang mengenai projek penyelenggaraan di Tanjung Bunga.

Hadir sama, jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Timur Laut, Mohd. Khairul Nizam Mohd. Fuzi; jurutera JKR Daerah Barat Daya, Wan Eika Tansukasih Che Daud dan Jurutera Awam (Jalan Raya) Rohaizi Hashim.

Pada masa sama, Zairil turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi arahan ditetapkan dan merancang perjalanan dengan sewajarnya apabila melalui kawasan terjejas.

“Tiada jalan akan ditutup sepanjang tempoh penyelenggaraan ini.

“Semua orang mesti mematuhi arahan yang diletakkan di lokasi penyelenggaraan dan pengguna jalan raya digesa mengatur perjalanan mereka dengan sewajarnya apabila melalui kawasan terjejas.

“Hal ini penting bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga.

Zairil turut menyampaikan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kerana meluluskan peruntukan yang diperlukan oleh negeri Pulau Pinang demi keselamatan penduduk di negeri ini.

Oleh: NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY
Gambar : KEVIN VIMAL