Selenggara jalan-jalan di SPS babit RM2.4 juta peruntukan Pusat, umum Kon Yeow

Admin
CHOW Kon Yeow

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri menerima RM2.4 juta peruntukan Persekutuan untuk tujuan projek infrastruktur kecil awam khusus di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Semasa mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap cadangan projek tertangguh sebelum ini dapat diteruskan demi meningkatkan mutu aliran trafik di kawasan berkenaan.

“Baru-baru ini, kita (Kerajaan Negeri) telah menerima surat jawapan daripada Kementerian Ekonomi yang meluluskan lima projek,” jelasnya seusai merasmikan Majlis Pelancaran Program Eco School Vocational Training di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Valdor di sini pada 22 Julai 2023.

CHOW Kon Yeow (depan, dua dari kiri) diiringi Aye Choy (depan, kanan) menyantuni salah seorang pelajar SMK Valdor di sini pada 22 Julai 2023.

Bercakap pada sidang media sama, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun menyatakan bahawa salah satu daripada projek tersebut tertangguh sejak tahun 2020, ekoran tampuk pentadbiran Kerajaan Persekutuan berpindah tangan.

“Sebenarnya, semasa zaman Pakatan Harapan masih memerintah Kerajaan Persekutuan, pernah menaik taraf projek berkaitan pada tahun 2019…(tetapi) fasa kedua projek itu terpaksa ditangguhkan apabila berlakunya Langkah Sheraton,” ujarnya.

Berikut adalah lima projek infrastruktur kecil awam yang melibatkan pembiayaan Persekutuan di negeri Pulau Pinang tersebut:-

• Cadangan kerja-kerja pelebaran jalan, dedicated u-turn dan lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan Bukit Tambun (FT 149) – RM500,000;

• Cadangan kerja-kerja menaik taraf persimpangan jalan dan lain-lain kerja berkaitan di Persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan (FT 149) – RM500,000;

• Cadangan kerja-kerja mengecat garisan jalan yang pudar/hilang dan lain-lain kerja berkaitan di sepanjang Jalan Bukit Tambun (FT 149) dan Jalan Paboi – RM400,000;

• Cadangan kerja-kerja mengecat garisan jalan yang pudar/hilang dan lain-lain kerja di Jalan Ipoh-Butterworth (FT 001) – RM500,000;

• Cadangan kerja-kerja mengecat garisan jalan yang pudar/hilang dan lain-lain kerja di Jalan Transkerian – Jalan Bukit Panchor (FT 283) dan Jalan Trankrin (FT 282) – RM500,000.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR