Selepas 150 tahun, rangka Guar Kepah bakal pulang ke tanah air

BELANDA – Selepas lebih 150 tahun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini dalam usaha membawa pulang semula 41 rangka manusia yang ditemui di Guar Kepah, Kepala Batas dan bakal ditempatkan kembali di lokasi asal penemuannya.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang mengetuai delegasi ke Belanda memaklumkan bahawa usaha itu adalah selaras dengan misi khas yang diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow sebelum ini.

Prof. Dr. P. Ramasamy bersama-sama delegasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Belanda.

“Melalui misi khas tersebut, Ketua Menteri mahu rangka-rangka ini dibawa pulang dan akan ditempatkan di Galeri Arkeologi Guar Kepah dekat Kepala Batas yang kini sedang dalam pembinaan.

“Sebelum ini, rangka berkaitan dibawa dan disimpan di Belanda selepas ia mula ditemui oleh pasukan arkeologi sejak tahun 1860.

“Justeru, bagi merealisasikan inisiatif tersebut, delegasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengadakan kunjungan hormat rasmi terhadap Menteri Pendidikan, Kebudayaan dan Sains Belanda bagi mengesahkan keberadaan dan kondisi 41 rangka manusia Guar Kepah berkenaan pada hari ini,” katanya yang mengetuai delegasi berkenaan selama seminggu bermula 20 Mac lalu.

Penelitian ke atas rangka yang dijumpai di Guar Kepah yang disimpan oleh pihak berkuasa Belanda ketika ini.

Turut serta, Duta Malaysia ke Belanda, Dato’ Nadzirah Osman; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Pengurus Urusan Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datin S. Bharathi.

Serentak dengan sesi kunjungan itu, turut diadakan adalah upacara bersejarah pembukaan kotak yang menyimpan rangka yang ditemui di bawah timbunan cengkerang di Guar Kepah.

Majlis tersebut diselaraskan dengan pihak Kerajaan Belada yang mana siaran langsung secara dalam talian turut diadakan pada jam 5 petang waktu tempatan bagi membolehkan kerajaan Malaysia membabitkan pihak-pihak berkaitan termasuk Jabatan Warisan Negara (JWN) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyaksikan upacara itu.

Menteri Pendidikan, Kebudayaan dan Sains Belanda, Dr. Gunay Uslu menyerahkan surat serah semula rangka Guar Kepah kepada Malaysia secara rasmi.

Difahamkan, semua rangka daripada kotak pertama yang diperlihatkan hari ini masih dalam keadaan baik.

Menyifatkan upacara itu sebagai bukan sahaja kejayaan penting buat negeri Pulau Pinang, malah Ramasamy berkata bahawa penemuan arkeologi tersebut turut memberikan gambaran hebat mengenai asal usul manusia moden pada hari ini.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains & Teknologi berkata, Ketua Arkeologi Pulau Pinang (Projek Guar Kepah), Profesor Dato’ Mokhtar Saidin dan pasukannya akan melaksanakan beberapa kajian terhadap rangka-rangka Guar Kepah yang dibuka untuk proses lanjut.

Kerja-kerja pembinaan galeri warisan arkeologi Guar Kepah sedang giat dijalankan.

“Malah, beberapa perbincangan juga akan diadakan bagi merealisasikan misi yang penting ini khasnya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

Pada masa ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang melaksanakan projek pembinaan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah di atas tanah milik CMI dengan kos RM10 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Pusat di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Berdasarkan lawatan Buletin Mutiara ke tapak projek Galeri Arkeologi Guar Kepah baru-baru ini, difahamkan kerja-kerja pembinaan telah bermula sejak November 2022 dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2024.

Ilustrasi reka bentuk galeri apabila siap kelak.

Bercakap mengenai projek tersebut, Barathi berkata setelah galeri warisan itu siap dibina, pihaknya akan menempatkan semula hasil penemuan yang pernah ditemukan di tapak arkeologi tersebut.

“Galeri warisan arkeologi akan dilengkapi dengan kemudahan seperti penyaman udara, tandas, pejabat selain mempunyai ruang serbaguna untuk aktiviti akademik dan yang berkaitan arkeologi.

“Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan kawasan ini sebagai kawasan arkeopelancongan dan pelancongan berasaskan pendidikan yang mana bukan sahaja dapat menarik kunjungan pakar akademik dalam negara bahkan dari luar negara.

“Lebih penting lagi, galeri ini bukan sahaja akan menempatkan hasil penemuan purba termasuk rangka ‘Penang Women’, malah boleh dijadikan pusat rujukan untuk orang awam mengenai sejarah ketamadunan manusia yang wujud kira-kira 5,000 tahun dahulu,” katanya kepada Buletin Mutiara.

Barathi berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini telah membina galeri arkeologi sementara pada 2017 yang hanya dilengkapi dengan struktur berbumbung separa tetap dan terbuka melibatkan peruntukan hampir RM2 juta.

“Semasa proses pembinaan galeri sementara pada 17 April 2017, pekerja yang bertugas ketika itu menjumpai rangka baharu yang dikenali sebagai ‘Penang Women’ di bawah timbunan cengkerang di tapak galeri tersebut.

“Dari situ, kita hentikan kerja penggalian dan kerajaan negeri juga ada menyalurkan beberapa peruntukan termasuklah pembinaan bumbung separa, kerja ekskavasi serta peruntukan untuk kerja-kerja pembersihan dan kawalan keselamatan.

“Buat masa sekarang semua penemuan terbaru itu telah ditempatkan sementara di Universiti Sains Malaysia (USM) sementara menunggu galeri warisan siap,” katanya yang menambah bahawa keluasan kawasan tapak warisan berkenaan adalah sekitar 2.4 ekar.

Oleh : YAP LEE YING & SUNARTI YUSOFF

Gambar : YAP LEE YING & SITI NURATIKAH RAHMAT