Selepas tujuh tahun, Muzium Pulau Pinang kembali dibuka, anjur pameran sementara mangkuk bertingkat

Admin
4ac5fe2a 3356 4c30 8b93 d0f487803a41 HARYANY Mohamed (depan, kiri) pada 17 Mei 2024 menceritakan kepada Wong Hon Wai (depan, kiri) mengenai Mangkuk Tingkat yang merupakan antara koleksi terhad dan teras LMNPP yang dipamerkan secara sementara di Muzium Negeri Pulau Pinang sehingga hujung bulan Jun di sini.

GEORGE TOWN – Muzium Negeri Pulau Pinang dekat Lebuh Fahquhar di sini akan kembali dibuka esok selepas kira-kira tujuh tahun ditutup untuk memberi laluan kepada kerja-kerja restorasi serta proses baik pulih bangunan warisan Kategori 1, sejak 14 April 2017.

Sehingga bulan Jun ini, Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) buat julung kalinya menganjurkan Pameran Ceritera Mangkuk Bertingkat sempena sambutan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28.

55ac566a 15b2 43d8 8c29 e3c859ab1ddc
ANTARA barisan tetamu yang menyertai acara pra-pelancaran Pameran Ceritera Mangkuk Bertingkat sempena sambutan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 di sini tadi.

Semasa menyempurnakan majlis pra-perasmian majlis tersebut di perkarangan luar bangunan berkaitan pada malam ini, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berharap sekalian pengunjung khususnya penduduk Pulau Pinang dapat meluangkan masa menikmati siri pendidikan pemuziuman di sini.

“Signifikan Pameran (Ceritera Mangkuk Bertingkat) ini adalah sempena sambutan 60 tahun penubuhan Muzium (Dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang) di bangunan ini (iaitu) pada 14 April 1965.

“Selepas selesai penganjuran pameran sementara ini, kita (LMNPP) akan memberi tumpuan kepada restorasi lengkap koleksi-koleksi lain secara lengkap di keseluruhan bahagian dalam bangunan ini, dan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan akan dibuka semula secara kekal bangunan muzium ini.

“Sehubungan itu, saya berharap para pengunjung dapat menikmati keindahan bangunan warisan Kategori 1 ini, dan diharapkan kita boleh belajar sesuatu daripada bidang pendidikan pemuziuman ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong dalam majlis berkaitan di sini pada 17 Mei 2024.

Menurut Pengerusi LMNPP itu lagi, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Ekonomi Kreatif dijadualkan menyempurnakan acara perasmian Hari Muzium Antarabangsa di Dewan Sri Pinang pada 11 pagi esok.

def4e85c 416f 49e5 b423 f4dcf60a3e0a
BANGUNAN Muzium Negeri Pulau Pinang dekat Lebuh Farquhar.

Difahamkan, bangunan Muzium Negeri Pulau Pinang merupakan antara 11 bangunan bertaraf Warisan Kebangsaan berdasarkan Akta Warisan 2005 serta menjadi antara elemen penting di sebalik pemasyhuran George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008.

Projek membaik pulih struktur fizikal bangunan Muzium Negeri Pulau Pinang yang dilaksanakan sejak April 2017 sebenarnya siap pada tahun 2019 lagi, namun kerja-kerja restorasi terpaksa ditangguhkan dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa itu.

bf922faf 3410 4513 b449 d71a29f74783
BEBERAPA mangkuk tingkat yang merupakan koleksi terhad LMNPP yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara tadi.

Pengarah LMNPP, Haryany Mohamed yang berucap sebelum pada itu antara lain berkata Pameran Ceritera Mangkuk Bertingkat di sini akan dibuka sehingga bulan Jun, secara percuma.

“Kami, orang Pulau Pinang panggil ‘Sia’.

“‘Tiffin’ adalah perkataan Inggeris-India yang berasal dari bahasa Inggeris lama iaitu ‘tiffing’ atau ‘to tiff’ yang bermaksud ‘untuk minum ringan’, namun, ia diistilahkan kini sebagai ‘makan tengah hari’.

“Kalau muzium di negeri Terengganu, koleksi terasnya adalah keris; kalau muzium di negeri Pahang, koleksi teras mereka adalah tekstil; di negeri Pulau Pinang, koleksi mangkuk tingkat ini merupakan antara koleksi berharga kami di LMNPP,” ujarnya.

Tambah beliau, LMNPP ketika ini mempunyai kira-kira 100 unit koleksi terhad mangkuk tingkat dengan pelbagai corak yang boleh menceritakan evolusi kebudayaan masyarakat lokal serta sejagat sejak era 1920-an.

Dalam perkembangan berkaitan, Haryany turut merakamkan penghargaan kepada sekalian Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, penggiat pemuziuman serta pengerak industri pelancongan yang terlibat di sebalik penganjuran Pameran Ceritera Mangkuk Bertingkat sempena sambutan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN