Selesai naik taraf dua lif Taman Bukit Dumbar Permai, hadiah sempena Deepavali – Exco

Admin

SUNGAI PINANG – Projek penaiktarafan dua unit lif Taman Bukit Dumbar Permai di sini menelan belanja keseluruhan sebanyak RM330,000.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) membiayai 60 peratus daripada kos keseluruhan projek tersebut, sementara baki 40 peratus lagi ditanggung oleh persatuan penduduk taman perumahan berstrata tersebut.

“Ini, merupakan satu lagi projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini untuk rakyat Pulau Pinang yang mana kita akan cuba membantu semampu yang boleh demi rakyat.

“Pada hari ini, saya datang ke sini bukan untuk meluluskan projek ini, kerana projek (penaiktarafan dua lif tersebut) telahpun diluluskan dan telahpun siap sepenuhnya,” jelasnya kepada pemberita di sini pada 25 Oktober 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ketua Pegawai Operasi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff dan beberapa wakil persatuan penduduk setempat turut sertai sidang media tersebut.

Dengan siapnya projek tersebut, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat menganggap ia sebagai ‘hadiah’ sempena menyambut perayaan Deepavali buat penghuni setempat.

Dalam pada itu, Siew Khim yang berucap selepas itu memberitahu bahawa beliau bangga kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang pertama melaksanakan polisi penyelenggaraan perumahan awam dan swasta di tanah air ini.

“Saya selalu bangga bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang pertama mengadakan TPM80PP ini,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh penduduk Taman Bukit Dumbar Permai yang berjaya mendapat manfaat daripada polisi Kerajaan Negeri itu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI