Selisih pendapat bukan alasan untuk pecah belah, harap Aidilfitri semarak perpaduan rakyat

86cf74be d6f6 46a7 9f83 59fb0bb38fa0 LIM Hui Ying menyampaikan ‘duit raya’ kepada kanak-kanak yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Persatuan Kebajikan Jalan Kedah di sini pada 31 Mac 2025.

GEORGE TOWN – Perbezaan dan perselisihan pendapat yang tidak dapat dielakkan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menimbulkan ketegangan atau memecah belah perpaduan rakyat yang berbilang kaum di tanah air ini, kata Lim Hui Ying.

Menurut Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Kewangan itu lagi, perpaduan rakyat juga bukanlah sesuatu yang boleh dicapai hanya melalui undang-undang atau polisi semata-mata, sebaliknya perlu dipupuk oleh semua pihak.

“Ia, perlu dipupuk melalui sikap hormat-menghormati dan saling memahami antara semua kaum dan agama.

“Hanya dengan menjadikan nilai-nilai ini sebagai asas, barulah kita dapat membina sebuah masyarakat yang bersatu padu dan harmoni,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Persatuan Kebajikan Jalan Kedah di sini pada 31 Mac 2025.

Di samping itu, beliau yang juga Setiausaha Pakatan Harapan (PH) negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa pihaknya akan mempertimbang hasrat serta permohonan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk projek pembinaan bumbung kekal di gelangang futsal di sini.

Berucap sebelum itu, Setiausaha Persatuan Kebajikan Jalan Kedah, Mohamed Taufiq Kuthubutheen yang juga pengerusi penganjur majlis keramaian pada hari ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan pihak Hui Ying atas sokongan tak berbelah-bahagi terhadap segala aktiviti pemerkasaan komuniti setempat yang dianjurkan oleh NGO berkenaan selama ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran serta isteri.

Serentak pada majlis sama, Hui Ying turut menyampaikan ‘duit raya’ kepada kanak-kanak yang hadir serta 10 hamper kepada belia terpilih.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN