‘Semalaman Di No.57 Macalister’ siri ke-5 janjikan pengalaman mengujakan

Admin

GEORGE TOWN – Program ‘Semalaman Di No.57 Macalister’ atau ‘Night at No.57 Macalister’ kembali lagi untuk siri yang kelima pada 13 dan 14 April ini

Program yang dianjurkan bersempena dengan sambutan ulang tahun penubuhan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang Ke-54 pastinya memberikan pengalaman lebih mengujakan serta kenangan manis kepada para peserta dengan merasai sendiri suasana bermalam di muzium berkenaan.

Penyertaan adalah terbuka kepada orang dewasa (warganegara atau bukan warganegara), orang kurang upaya (OKU) pendengaran serta pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta (had umur 18 hingga 55 tahun).

Sasaran penyertaan adalah terhad kepada 50 orang terawal dengan yuran sebanyak RM50 (dewasa), RM25 (OKU) dan RM30 untuk pelajar.

Haryany (kiri) menerangkan secara ringkas berkaitan pengisian-pengisian program kepada Yeoh Soon Hin.

Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata, objektif penganjuran program berkenaan adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada para peserta mendekati muzium melalui susur galur sejarah dan warisan bangunan No.57 Macalister yang telah berusia lebih 100 tahun.

“Bangunan ini merupakan Hospital Memorial King Edward VII dan berfungsi sebagai hospital bersalin.

“Antara pengisian aktiviti termasuklah lawatan melihat pameran, lawatan berpandu termasuk sesi ‘Bedtime Story’ yang mana peserta akan dihidangkan dengan pengalaman oleh bekas-bekas pekerja yang pernah bertugas dan menghuni bangunan ini.

“Lebih menarik, artis-artis seperti Cheung Pooi Yip, Datuk Chong Hon Fatt dan Puan Teh Ee Ming juga turut menyertai program ini dan berkongsi pengetahuan mereka mengenai seni retrospektif,” katanya pada sidang media dekat Muzium Pulau Pinang, di sini sebentar tadi.

Turut serta, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad.

Bagi yang berminat untuk turut serta dan merasai sendiri pengalaman bermalam di muzium, boleh hubungi talian 04-226 1461 atau 04-226 1462 atau e-melkan ke [email protected].

Tarikh akhir penyertaan adalah pada 11 April 2019 (Khamis) ini.