Semangat berpasukan, perpaduan aset kejayaan atlit

Admin

GEORGE TOWN – “PENANG GO FOR GOLD’’, itulah laungan amaran anak-anak muda Pulau Pinang yang bertanding di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2 Jun lalu di Kuala Lumpur.

Seramai 335 orang termasuk pegawai-pegawai khas telah mewakili Kontijen Pulau Pinang yang berentap di dalam 17 kategori sukan yang dipertandingkan di kejohanan tersebut.

Di temasya sukan tersebut, Kontijen Pulau Pinang menyasarkan 5 pingat emas, 5 perak dan 10 gangsa.

Walaupun sasaran yang diletakkan tidak begitu tinggi, ia bagaimanapun tidak bermaksud bahawa Kontijen Pulau Pinang akan mudah mengaku kalah. Sebaliknya, atlit-atlit yang bakal berentap akan berjuang bermati-mati untuk mempertahankan maruah serta martabat negeri Pulau Pinang yang dicintai.

Tujuan utama Kontijen Pulau Pinang bertanding dengan peserta-peserta negeri-negeri lain adalah untuk mengasah bakat dan potensi sedia ada bagi melahirkan atlit bertaraf antarabangsa.

Tidak mustahil bagi Pulau Pinang melahirkan atlet bertaraf antarabangsa kerana Pulau Mutiara merupakan “power house” sukan yang mana berjaya melahirkan jaguh-jaguh sukan seperti Zaiton Othman, Jeffrey Ong Kuan Seng, Rabia Abdul Salam , Saik Oik Cum, V.Angamah serta ramai lagi.

Para atlit kini semakin bersemangat dengan komitmen menjalani latihan serta membuat persiapan yang secukupnya untuk menghadapi kejohanan itu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, dengan adanya semangat berpasukan, ia bukan hanya mampu membawa pulang pingat, malah, turut membuktikan bahawa perpaduan serta keunikan pasukan Pulau Pinang sebagai yang sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menyokong perkembangan sukan negeri dan berharap agar atlet-atlet menjadi teladan yang baik kepada anak-anak muda lain,” katanya pada Majlis Simbolik Penyerahan Bendera Kepada Atlet di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Ong Kok Fooi berkata, Kerajaan Negeri menaruh harapan tinggi kepada anda atlit untuk cuba sedaya-upaya bagi membawa pulang emas bagi acara sukan masing-masing.