Semangat perpaduan akan membawa Malaysia terus maju ke hadapan – Ketua Menteri

Admin

BERTAM – Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini akan membawa Malaysia untuk terus maju ke hadapan, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira bangsa, kaum dan wilayah yang hidup sebagai sebuah keluarga sejak sekian lama.

“Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Pulau Pinang tahun ini amat meriah, dan dari sini kita dapat melihat bahawa semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat masih lagi tebal dan kuat.

Semangat patriotik yang ditunjukkan oleh barisan pimpinan Kerajaan Negeri serta hadirin pada majlis Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Dewan Millenium Kepala Batas.

“Oleh itu, diharapkan semangat ini akan sentiasa ditegakkan kerana kita percaya bahawa semangat perpaduan akan membawa negara terus ke hadapan,” katanya kepada ketika ditemui selepas menjayakan sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Dewan Millenium Kepala Batas, di sini sebentar tadi.

Sambutan pada tahun ini diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.

Hadir sama, isteri Ketua Menteri, YBhg. Puan Tan Lean Kee; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; barisan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Malah, dalam ucapannya sebelum itu, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang teguh menyokong usaha Kerajaan Pusat dalam merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara selaras dengan aspirasi Malaysia Madani serta wadah ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan.

“Di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim, sebanyak RM15 bilion telah ditambah dalam peruntukan RM400 bilion untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) demi menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas rakyat serta meneraju ekonomi Islam.

“Siling perbelanjaan RMK12 ini telah mengambil kira jangkaan kekal dalam pasaran defisit 3.5 peratus menjelang tahun 2025 yang penting bagi pembangunan ekonomi negara termasuk negeri Pulau Pinang.

“Ini kerana ekonomi Pulau Pinang telah bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus (2021) dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM112.1 bilion,” katanya.

Persembahan kebudayaan pelbagai kaum dan etnik memeriahkan lagi majlis.

Terdahulu, majlis Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang berlangsung meriah dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum termasuk etnik peribumi Sabah dan Sarawak.

Persembahan Tarian Lima Bangsa yang menggabungkan bangsa-bangsa utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, Iban serta Kadazan membuka tirai majlis dan disusuli dengan acara menaikkan Jalur Gemilang serta nyanyian Lagu Negaraku.

Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan perarakan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023 yang berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 20,000 rakyat dekat Stadium Batu Kawan pada 31 Ogos lalu.

Difahamkan, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Perempuan Cina Pulau Pinang dinobatkan sebagai johan bagi kategori badan beruniform sekolah manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul dan SMK Sungai Nibong masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Perda dinobatkan sebagai juara perbarisan sektor awam.

Sementara itu, kategori pancaragam sekolah menyaksikan SMJK Jit Sin dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing milik SMJK Perempuan Cina Pulau Pinang dan SMJK Chung Ling Butterworth.

Kontinjen Pusat Pergigian Kanak-Kanak & Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Pergigian) Georgetown pula dipilih sebagai juara bagi kategori Institut Pengajian Tinggi & Latihan manakala Komander Kesatria UiTM Cawangan Pulau Pinang (kedua) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam (ketiga).

Bagi kategori sektor swasta, kontinjen Tenaga Nasional Berhad (TNB) diumumkan sebagai juara manakala Kompeni Ke-3 Butterworth Briged Putera Malaysia sebagai naib juara diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di tempat ketiga.

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) pula muncul sebagai kontinjen perbarisan terbaik bagi sektor awam apabila dinobatkan sebagai juara manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing milik kontinjen Pejabat Tanah dan Daerah Timur Laut serta Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan.

Johan bagi setiap kategori layak membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 berserta piala dan sijil penghargaan manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta sijil penghargaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS