Semarak budaya inovasi sektor awam, tingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan

Admin
87ebe884 c1c8 48eb 814d 175320711121 JASON H’ng Mooi Lye (empat dari kiri) dan barisan pemimpin lain di Majlis Apresiasi Pemenang Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) Tahun 2024 di Dewan Bizmillah Wedding Center di sini pada 29 April 2025.

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mahu Kerajaan Negeri hari ini terus giat menyemarak budaya kreatif dan inovatif dalam sektor awam bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan berkaitan lebih cepat, cekap dan berkesan.

8618eb79 b382 4fdf 80c8 1e3afb4c619c
JASON H’ng Mooi Lye

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata demikian ketika menyampaikan amanat Kon Yeow itu, semasa merasmikan Majlis Apresiasi Pemenang Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) Tahun 2024 di Dewan Bizmillah Wedding Center di sini pada 29 April 2025.

“(Sesungguhnya), inovasi serta kecekapan para penjawat awam merupakan penyumbang utama pada transformasi perkhidmatan awam yang lebih cekap dan mesra rakyat.

“Tahun 2025 menandakan kita kini telah memasuki fasa ketiga pelaksanaan Visi Penang2030 (yang mana) inovasi dalam sektor awam bukan lagi satu pilihan, tetapi ia merupakan satu keperluan.

“Oleh itu, pada awal tahun ini, saya menegaskan agar semua penjawat awam menjalankan tugas dengan lebih progresif serta proaktif bagi memastikan setiap Tema di bawah Visi Penang2030 dapat dicapai, terutamanya Inisitif Strategik C4, iaitu Mempercepat Penyampaian Program dan Pembaharuan Institusi,” jelasnya Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Kon Yeow turut menyokong segala usaha pembangunan inovasi pada peringkat akar umbi selari dengan semangat Malaysia Madani dan Visi Penang2030.

“Dalam semangat Malaysia Madani dan Visi Penang2030, kita mahu setiap penjawat awam menjadi ejen perubahan yang mampu membentuk ekosistem kerja lebih efisien, inklusif dan mampan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mooi Lye turut merakamkan penghargaan kepada pihak Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri serta seluruh penjawat awam yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menyemarakkan penyertaan negeri dalam AIPSA 2024.

“(Sesungguhnya), projek yang dibangunkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP), iaitu Penang Smart Parking(PSP) telah mencatat kejayaan membanggakan apabila diumumkan sebagai Penerima Terbaik bagi Trek Infrastruktur dalam Anugerah Inovasi Sektor Awam (AInSA) 2023,” jelasnya lagi.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Bahagian Pengurusan), Dato’ Abdul Kahar Abdullah; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ir. A. Rajendran; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid dan Setiausaha Bahagian BKT, Muhamad Husni Mahmud antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis apresiasi tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN