GEORGE TOWN – Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow mengajak rakyat negeri ini melancarkan kempen ‘Jom Balik Mengundi, Selamatkan Malaysia’ dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal diadakan pada 19 November ini.
Jelasnya, dengan kadar peratusan keluar mengundi yang tinggi ia mampu memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) seperti tahun 2018 lalu.
“Kita perlu pastikan pengundi-pengundi berdaftar ini keluar mengundi pada PRU kali ini.
“Pada PRU-14 yang lepas 85 peratus pengundi keluar, pada kali ini semarakkan api perjuangan untuk keluar mengundi dan jadi agen perubahan kepada Malaysia.
“Jangan bagi orang lain undi untuk kita, kalau kita tidak undi akan gugurlah hak mengundi kita.
“Sebentar tadi ada hadirin bagitahu saya dia balik dari Indonesia kerana mahu mengundi, sama juga di Kampung Valdor siang tadi, ada yang memaklumkan kepada saya pulang dari Australia semata-mata mahu tunaikan tanggungjawab mengundi pada 19 November ini,” ujar Kon Yeow pada Ceramah Perdana PRU-15 di Dewan Perniagaan Tiong Hua (Cina) Pulau Piang (PCTH) dekat George Town malam tadi.
Hadir sama, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Tindakan Demokratik (DAP); calon Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; calon Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; calon Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; calon Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dan mantan Ahli Parlimen Iskandar Puteri (Johor), Lim Kit Siang.
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menyifatkan gerakkan keluar mengundi itu harus dilaksanakan serta merta menggunakan segala saluran media sosial agar tersebar meluas.
Dalam berdepan PRU kira-kira 14 hari dari sekarang, beliau berharap semua penyokong dan ahli PH terus bekerja keras tanpa putus asa seperti yang pernah dilakukan sebelum ini hingga berjaya menawan Putrajaya.
“Kita telah lalui pelbagai peringkat perjuangan sehinggalah pada tahun 2008 berjaya menawan Pulau Pinang.
“Tahun 2018 kita berjaya tawan Putrajaya dan ini adalah hasil perjuangan selepas puluhan tahun, selagi tidak putus asa, PRU-15 akan jadikan kita bangga kerana masih tidak putus asa walaupun memerintah 22 bulan (sebagai Kerajaan Persekutuan sebelum ini), selepas ‘ditampar’ oleh Langkah Sheraton,” katanya yang juga ADUN Padang Kota.