PULAU BETONG – Seluruh rakyat Pulau Pinang yang berbilang kaum serta menganut pelbagai agama mesti terus berusaha menyemarakkan semangat muhibah berlandaskan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyampaikan amanat tersebut selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 42 anak yatim dan 17 mualaf dalam Majlis Berbuka Puasa di Masjid Daerah Barat Daya, Balik Pulau dekat sini pada 26 April 2022.
Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohamad Bakhtiar Wan Chik; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri.
Semasa berucap, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa dengan sumbangan tunai berserta pek bantuan makanan lain yang disumbangkan sebentar tadi diharapkan dapat memberi sedikit keceriaan kepada para penerima terpilih.
“Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, sejumlah RM7,590 telah diperuntukkan untuk sumbangan duit raya serta baju raya yang membabitkan 42 anak yatim dan 17 mualaf terpilih.
“Saya berharap sumbangan ini dapat memberi sedikit keceriaan dan secara tidak langsung juga meringankan beban golongan berkenaan.
“Semoga Aidilfitri pada tahun ini dapat disambut meriah oleh semua orang tanpa mengira perbezaan latar belakang dan agama,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Sebelum itu, Kon Yeow bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri turut menyertai jerayawara di Bazar Ramadan dekat perkarangan depan masjid daerah di sini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHD. AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN