Sembilan anggota pengakap Pulau Pinang terima anugerah Lencana Pengakap Raja

Admin
img 0617

GEORGE TOWN – Seramai sembilan anggota Pengakap Pulau Pinang menerima anugerah tertinggi, Lencana Pengakap Raja pada 1 Disember lalu.

Selain itu, seramai 18 anggota pengakap menerima Rambu Pengakap Muda, dan sembilan anggota lagi menerima Rambu Pengakap Remaja.

Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen bertempat di Wisma Pengakap Negeri Pulau Pinang di sini.

img 0529

img 0588

Ketika berucap, Zi Sen berkata Pengakap Raja merupakan anugerah tertinggi dalam Persekutuan Pengakap Malaysia yang mana penerimanya telah menempuh pelbagai ujian serta cabaran luar biasa.

“Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan dan mencerminkan komitmen serta usaha keras semua penerima anugerah dalam menjalani latihan dan program yang telah dirancang dengan penuh disiplin.

“Keunikan anugerah ini juga terletak pada pengiktirafan khasnya yang ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta semua Sultan di Malaysia.

“Proses yang ketat dan komprehensif ini membuktikan bahawa para penerima Anugerah Pengakap Raja adalah insan yang benar-benar berkaliber dan berwibawa,” katanya yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang (MPNPP).

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Nasaruddin Shamsuddin; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Zulkafli Kamaruddin; Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Dato’ Heng Soo Peng; Pesuruhjaya Latihan Negeri Pulau Pinang, Ts. Chew Ching Yee; Ahli Majlis Pengakap Negara merangkap Bendahari Kehormat MPNPP, Ong Ewe Keat serta Ahli Majlis Pengakap Negara, Azmi Nashriby Abu Zahar.

Zi Sen berkata, pergerakan pengakap memainkan peranan penting dalam pembangunan belia di negeri ini.

“Melalui kerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan negeri, persatuan belia, serta sokongan daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat tempatan, PPMNPP telah memberi impak besar kepada komuniti dan generasi muda.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini dan yakin kerjasama ini akan terus diperkukuh demi memanfaatkan lebih ramai belia,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Pada masjlis sama, Zi Sen turut menyempurnakan pelancaran Buletin Pengakap Negeri Pulau Pinang edisi 2016-2023 yang merupakan edisi kedua telah diterbitkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang.

“Buletin ini merakamkan pelbagai aktiviti, program, serta pencapaian pengakap di negeri ini sepanjang tempoh tersebut.

“Ia juga merupakan medium penting untuk mempromosikan pembangunan pergerakan pengakap Pulau Pinang di peringkat antarabangsa,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADUN