Seminar Jenayah dan Kepolisan tingkat kesedaran mengenai jenayah

Admin

GEORGE TOWN – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (Pulau Pinang) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya menganjurkan seminar mengenai isu-isu berkaitan jenayah dan kepolisan.

Seminar melibatkan pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Pusat itu disertai kira-kira 150 peserta dan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Jenayah dan Kepolisan dekat sini.

Menurut pengerusi jawatankuasa penganjurnya, Datuk Dr. P. Sundramoorthy, cadangan mengadakan seminar tersebut adalah dicetuskan sendiri oleh Ketua Menteri yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai jenayah dan kepolisan.

“Semasa Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Pulau Pinang, YAB Ketua Menteri menekankan kepentingan untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan jenayah dan kepolisan.

“Jadi, beliau meminta Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (Pulau Pinang) dan Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa USM untuk menganjurkan seminar ini,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas majlis perasmian seminar berkaitan dekat sini sebentar tadi.

Dr. P. Sundramoorthy

Turut hadir, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria serta Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (Pulau Pinang), Datuk Ong Poh Eng.

Sundaramoorthy memberitahu bahawa perbuatan jenayah merupakan perkara yang sangat kompleks dan banyak perkara perlu dipelajari serta difahami mengenainya.

“Saya berharap agar seminar ini dapat diadakan setiap tahun kerana melalui program seperti ini dan dengan penyertaan pakar-pakar, kami dapat memberi penjelasan berkaitan isu keselamatan yang sering dipandang enteng,” katanya.

Antara agensi kerajaan yang menyertai seminar berkaitan.

Dalam pada itu, Kon Yeow semasa berucap menyatakan bahawa indeks jenayah di negeri ini menunjukkan penurunan dari Januari hingga November 2022 berdasarkan perangkaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang.

“Penurunan dicatatkan adalah di bawah nilai ambang sebanyak 42 peratus iaitu bersamaan 2,385 berbanding tempoh sama pada tahun 2021.

“Walau bagaimanapun, angka tersebut sama sekali tidak boleh membuatkan kita leka, sebaliknya kita perlu meneruskan perjuangan dalam memerangi jenayah demi menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat lebih selamat untuk semua.

“Oleh itu, saya menyeru serta menggalakkan setiap individu supaya menjalankan tanggungjawab masing-masing bersama-sama pasukan keselamatan untuk mencegah dan menangani kegiatan jenayah dalam komuniti.

“Saya yakin dengan usaha kolektif semua pihak, kita akan dapat mengurangkan isu sosial yang kompleks ini dan seterusnya mencapai Visi Penang2030,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan di negeri ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa perbuatan jenayah sering dikaitkan dengan pelbagai keadaan sama ada faktor sosial, ekonomi, budaya dan struktur institusi keluarga.

“Faktor signifikan yang perlu diberi perhatian adalah daripada segi ekonomi atau khususnya kemiskinan yang mana dipercayai berkait secara langsung dengan kadar jenayah semasa.

“Selain itu, faktor sosial terutamanya yang melibatkan kekurangan sokongan daripada ahli keluarga serta komuniti, ketidakupayaan mengakses perkhidmatan sedia ada serta pengabaian kebajikan kanak-kanak dan individu turut menyumbang kepada kemungkinan berlakunya prilaku jenayah.

“Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengutamakan usaha-usaha kebajikan dalam memastikan seluruh rakyat negeri ini merasai manfaat polisi yang dilaksanakan dari semasa ke semasa khasnya dalam aspek pembangunan ekonomi,” ujar beliau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING