Seminar keselamatan jalan raya khas untuk warga emas

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersama barisan penganjur seminar ‘Keselamatan Anda Tanggungjawab Kami’ khusus untuk warga emas di sini barubaru ini.
CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersama barisan penganjur seminar ‘Keselamatan Anda Tanggungjawab Kami’ khusus untuk warga emas di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Bagi mewujudkan sikap pemanduan berhemah dalam kalangan masyarakat pada semua peringkat umur, satu seminar berhubung pemaduan berhemat khas buat warga emas berusia 60 tahun ke atas akan diadakan pada 26 Februari ini di Hotel Gurney bermula jam 8.30 pagi hingga 3 petang.

Penganjuran kali pertama seminar bertajuk, ‘Keselamatan Anda Tanggungjawab Kami’ adalah bertujuan menjadi pemangkin atau kesedaran bagi mempromosi tahap keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya terutama golongan warga emas.

Berdasarkan data dari Forum Pengangkutan Antarabangsa dan Keselamatan Trafik Antarabangsa dan Analisis Data Kumpulan (IRTAD), Malaysia menduduki tempat tertinggi daripada 33 negara dikaji dari segi kematian setiap 100,000 penduduk, negara mencatatkan 23.8 kematian.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow yang ditemui pada sidang medianya, seminar tersebut diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya, menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan dalam jangka masa panjang mengukuhkan mod pengangkutan awam untuk memberikan alternatif lebih baik.

“Kita dapati ramai warga emas yang masih memandu. Oleh itu, seminar ini dapat menilai sejauh mana kecekapan pemanduan warga emas di Pulau Pinang,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pengamal perubatan dari Hospital Pulau Pinang akan turut serta untuk memberikan input mengenai keselamatan jalan raya kepada warga emas yang hadir pada hari tersebut.

Seminar ini diadakan secara percuma dan terbuka kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu. Walau bagaimanapun, tempat adalah terhad kepada 100 orang terawal sahaja. Warga emas yang berminat untuk mendaftar boleh menghubungi pejabat Kon Yeow di talian 04 – 261 9888 pada waktu pejabat.