Semoga berjaya, kata Ketua Menteri iringi peserta akhir negeri ke Malaysia Techlympics 2022

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 400 pelajar dari 20 sekolah rendah sekitar Pulau Pinang akan menyahut cabaran dalam saingan akhir Malaysia Techlympics 2022 anjuran Kementerian Tenaga. Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Majlis Sukan Negara (MSN) dekat Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 dan 27 November ini.

Namun, kira-kira 70 pelajar dan guru pengiring hampir membatalkan niat menyahut cabaran dalam program tersebut kerana masing-masing menghadapi masalah pengangkutan untuk ke sana.

Susulan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi tampil membiayai kos perjalanan dua bas persiaran yang diperlukan oleh mereka.

Semasa berucap dalam majlis berkaitan pada pagi ini (25 Disember 2022), Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada Pejabat Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi kerana mengambil tanggungjawab dalam urusan tempahan bas persiaran dan penyediaan sarapan pagi untuk 70 pelajar dan guru pengiring berkenaan.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif pusat penemuan sains, Tech Dome Penang (TDP), Ts. Khoo Boo Wooi kerana memanjangkan keperluan pengangkutan yang dihadapi oleh 70 murid dan guru pengiring berkenaan.

“Sebenarnya, Kerajaan Negeri melalui Kluster Sains Pulau Pinang (PSC) telah mengadakan pelbagai program untuk menggalakkan warga kita di negeri Pulau Pinang khususnya pelajar-pelajar yang masih di bangku sekolah menanam minat dalam mata pelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

“Sebab, (modal insan yang menguasai STEM) ini merupakan keperluan negeri Pulau Pinang, sebagai sebuah negeri yang maju segi sektor ekonomi dan industri.

“(Justeru,) saya berharap sekalian 400 pelajar dari 20 sekolah rendah seluruh Pulau Pinang dapat mengharungi saingan pertandingan dalam pertandingan (Malaysia Techlympics 2022) ini.

“Semoga berjaya… berjaya atau tidak, namun semangat pertandingan serta semangat juang dalam menghadapi cabaran dan saingan adalah lebih penting,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu
Kawan.

Turut berucap, Ramasamy yang juga ADUN Perai merangkap Pengerusi PSC.

ZUYANTI Zolkifli

Salah seorang guru pengiring, Zuyanti Zolkifli yang ditemui menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana menyediakan dua bas penyiaran kepada kira-kira 70 orang yang menghadapi masalah pengangkutan untuk ke ibu negara.

“Enam pasukan kita (dari Pulau Pinang) layak ke peringkat kebangsaan… selepas kita (peserta negeri Pulau Pinang) bersaing di peringkat Zon (Utara) yang berlangsung di Pusat Sains Negara, negeri Kedah (dekat Alor Setar), kita bertanding (pada 12 September 2022) dan dapat nombor satu dan dua,” ujarnya yang juga Guru Penyelaras STEM, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nibong.

Buletin Mutiara difahamkan, dalam saingan akhir Malaysia Techlympics 2022, para peserta pertandingan secara terbuka akan menghadapi cabaran seperti penguasaan STEM, aplikasi kecerdasan pintar (AI), program pengekodan terpantas (fastest coding), blok robot dan sebagainya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SIEW CHIA EN