SUNGAI DUA – Kesemua 23 projek menaik taraf infrastruktur bekalan air yang dirancang dalam pelan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) telah siap sepenuhnya pada jam 1.48 petang tadi.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan siapnya kesemua 23 projek yang dirancang tersebut, pelan untuk memulihkan bekalan air kepada 100 peratus pengguna yang terjejas menjelang pagi Isnin (28 April 2025) akan dapat dicapai.
“Ketika ini, pasukan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang melakukan ujian dan melepaskan angin yang terperangkap dalam saluran paip bagi memastikan penyaluran air kepada pengguna berjalan lancar.
“Ini bermakna pengguna di semua daerah khususnya di Seberang Perai Selatan (SPS) dan sebahagian di Timur Laut serta Barat Daya akan mula menerima bekalan air dalam sedikit masa lagi.
“Justeru, jadual kita untuk memulihkan sebanyak 88 peratus bekalan air kepada pengguna pada malam ini harap dapat dicapai,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas meninjau kerja-kerja pembaikian dekat Kampung Teluk di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan.
Menyentuh mengenai kerja-kerja penyambungan akhir dua paip berdiameter 1.35 meter (m) merentasi Sungai Perai yang mengalami sedikit kelewatan, Kon Yeow menjelaskan bahawa perkara itu adalah disebabkan berlakunya fenomena air pasang sejak semalam.
“Memang berlaku sedikit kelewatan daripada masa yang diumumkan oleh PBAPP memandangkan kerja-kerja ini amat mencabar kerana dua paip ini berada betul-betul di tepi Sungai Perai.
“Keadaan ini telah menyebabkan pihak kontraktor terpaksa berdepan dengan cabaran untuk melakukan penyambungan akhir dalam tempoh dua hari ini,” ulasnya.
Pada masa sama, Kon Yeow menyeru kepada pengguna yang telah menerima bekalan air supaya menggunakan air secara berhemah supaya pelan pemulihan bekalan air dapat berjalan dengan lancar.
“Kita juga menyeru kepada para pengguna air khususnya di kawasan-kawasan yang masih terkesan agar terus bersabar.
“Bagi kawasan yang sudah pulih, kita mohon agar mereka berjimat cemat supaya air itu dapat disalurkan kepada komuniti berdekatan yang masih belum menerima bekalan air.
“Walau bagaimanapun, pada masa ini, pasukan PBAPP akan terus memantau tangki-tangki dan lori air yang sudah diletakkan di kawasan komuniti terjejas dengan kerjasama wakil rakyat setempat.
“Ketika ini, segala tumpuan akan diberikan kepada kawasan SPS dan daerah Barat Daya yang merupakan lokasi yang berada paling hujung dari saluran paip iaitu end of line (EoL),” katanya.
Difahamkan, setakat jam 11.30 pagi Ahad (27 April), PBAPP mengumumkan sebanyak 30 peratus pemulihan atau 162,000 pengguna sudah menerima bekalan air.
Di Seberang Perai, pemulihan air di daerah Seberang Perai Utara (SPU) telah mencapai 100 peratus, Seberang Perai Tengah (SPT) mencapai 88 peratus manakala SPS pada tahap 38 peratus.
Sementara itu, di bahagian pulau pula, pemulihan bekalan air di daerah Timur Laut sudah mencapai 84 peratus tetapi bagi daerah Barat Daya yang berada di EoL, pemulihan bekalan baru mencapai 10 peratus.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMMAD