Semua diseru cipta tema Kempen Tandas Bersih KN

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF 

CHOW Kon Yeow menunjukkan salah sebuah tandas awam yang bakal melalui penjenamaan semula di Pulau Pinang.
CHOW Kon Yeow menunjukkan salah sebuah tandas awam yang bakal melalui penjenamaan semula di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Selaras dengan inisiatif ke arah Pulau Pinang Bersih dan Hijau, Kerajaan Negeri di bawah Kerajaan Tempatan telah menganjurkan satu Pertandingan Mencipta Tema sempena Kempen Tandas Bersih Peringkat Negeri Pulau Pinang tahun ini.

Kerjasama bersama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Bahagian Kerajaan Tempatan tersebut terbuka kepada seluruh rakyat Pulau Pinang dari peringkat sekolah rendah sehingga dewasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow pada satu sesi sidang media berkata, Kerajaan Negeri akan menfokuskan kepada kebersihan tandas yang menjadi pengukur penting kepada sejauhmana tahap kebersihan sesebuah bandaraya.

“Tandas awam tempat yang digunakan orang ramai, ia akan memberikan impak kepada pengguna sama ada dari sudut positif mahupun negatif.

Tambah beliau, tema yang terpilih akan digunakan pada Perasmian Kempen Tandas Bersih yang diadakan pada Mac 2012.

“Selain daripada plak dan sijil penghargaan, para peserta berpeluang merebut hadiah tempat pertama bernilai RM750, kedua (RM500), ketiga (RM300) dan lima hadiah saguhati RM50 yang disediakan,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan borang penyertaan yang telah disediakan di laman sesawang, http://www.penang.gov.my ataupun hubungi urus setia pertandingan di 04-6505658. Pertandingan tersebut bakal berakhir pada 15 Februari 2012.